Saturday 1 December 2012

Cerpen: Cintaku buat sahabat



Amira duduk berteleku di dalam Surau Al-Muttaqin. Fikirannya kusut. Dia buntu. Amira menghela nafas berat lalu menyandarkan tubuhnya pada dinding surau. Dipandang ke arah tengah surau. Kosong. Para pelajar beransur pulang ke dorm masing-masing. Hanya tinggal beberapa pelajar yang setia menghuni di surau itu. Ada yang sedang membaca al-Mathurat dan ada yang membaca Kalamullah. Suasana itu sedikit sebanyak memberi ketenangan pada dirinya.


“Assalamualaikum,” satu suara mematikan lamunan Amira. Dipandang wajah yang memberi salam tadi. Qaniah. Sahabat seangkatan dengannya.


“Termenung jauh nampak. Teringatkan kekasih hati ke?,” Qaniah bercanda. Cuba mengukirkan senyuman di wajah Amira.


“Hish. Mana ada. Mengarut sahaja Nia ni. Saya mana ada kekasih hati.” Ujar Amira sambil mengukirkan senyuman. Namun hambar sekali dimata Qaniah.


Qaniah memandang wajah Amira. Wajah keruh Amira menceritakan segalanya. “Habis tu? Ada masalah?,”


Amira memandang ke wajah Qaniah. Menggeleng pun tidak, mengangguk pun tidak. Jika diikutkan kehendak hatinya, mahu sahaja dia luahkan segala apa yang terbuku di hatinya. Tetapi, dia sendiri tidak tahu dari mana dia hendak mulakan.


“Cubalah cerita. Jangan malu, jangan segan. Mana tahu, kalau saya boleh tolong. Kalau saya tak boleh tolong pun, mungkin membantu awak untuk rasa lebih lega,” ujar Qaniah lagi. Memujuk sahabatnya itu agar meluahkan segala masalah yang membebaninya. Tidak sanggup lagi melihat wajah kelat Amira.


Amira cuba mengukir senyuman.


Biarpun pahit untuk diluahkan, hatinya tekad.


Sahabat – sahabatnya tidak akan sesekali terlibat dalam masalahnya.


Itu janjinya.


Suasana sepi. Qaniah menghela nafas berat lalu melemparkan senyuman kepada Amira.“Tidak mengapalah Mira. Mungkin sekarang ini, awak belum bersedia. Nanti, kalau awak dah bersedia, carilah saya atau sahabat – sahabat kita yang lain. Mereka akan sedia membantu. Insya-Allah.” Ujar Qaniah sambil menggosok bahu Amira. Amira tersenyum sekadar menyedapkan hati Qaniah. Qaniah berdiri lalu melangkah meninggalkan Amira. Memberikan Amira ruang untuk mencari ketenangan.


“Oh ya.” Qaniah berhenti seraya berpusing memandang Amira. “Allah pernah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 286.



"Dan Allah tidak akan membebani sesuatu kaum itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya"



“Semua masalah ada penyelesaian. Saya yakin awak boleh melalui dugaan ini. Biarpun berat, biarpun lelah. Sabar dan bergantung haraplah kepada Yang Satu. Itu kuncinya,” ujar Qaniah tenang.



Amira mengangguk lembut lalu melemparkan senyuman kepada Qaniah. “Insya-ALLAH,”.



“Saya pergi dulu,” Qaniah meminta diri lalu melangkah pergi.



Sebaik sahaja Qaniah hilang dari pandangannya, Amira melepaskan nafas berat.



“Ya Allah, hanya padaMu tempat aku mengadu,”


***


“Mira,” Rasyidah menegur lembut. Bahu Amira sedikit terangkat. Terkejut dengan sapaan Rasyidah. Segera dia berpaling memandang wajah Rasyidah. Amira melemparkan senyuman buat Rasyidah. Rasyidah tersenyum. “Ada apa dalam minuman tu sampai tenung macam tu sekali?,” Rasyidah cuba bercanda. Terlukis keresahan di wajah Amira. Puas ditanya kepada sahabat – sahabatnya tentang perangai Amira yang sering termenung dan muram sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Namun,jawapan yang diterima, hampa sekali. Tidak tahu tentang masalah yang dihadapi Amira.


“Ada – ada sahaja Rasyidah ni,” Amira membalas lalu memandang kembali minumannya. Suasana sepi seketika.


Rasyidah melepaskan nafas berat. ‘Apa yang aku boleh lakukan untukmu, wahai sahabat? Katakan sahaja, akan aku bantu sedaya yang kumampu’. Mahu sahaja Rasyidah bertanya tetapi sekadar terlafaz di hati.


“Assalamualaikum, maaf kami lewat. Teacher Suriani lepas lewat hari ini,” Dini yang baru sahaja tiba di kafeteria, riang menyapa Rasyidah.


“Waalaikumusslam. Tidak mengapa. Lagipun kami baru sahaja sampai. Mana Iylia dan Ainsyah?,” tanya Rasyidah sambil matanya ligat mencari kelibat Iylia dan Azimah di belakang Dini.


“Ada, mereka sedang membeli minuman. Usrah kita kali ini, apa tajuknya?,” tanya Dini laju sambil melabuhkan punggung bersebelahan Rasyidah. Biasanya, pada waktu rehat sebegini, selepas solat dhuha, mereka akan berkumpul di kafeteria dan mengadakan usrah pendek sekiranya tiada sebarang komitmen.


Rasyidah tersenyum melihat gelagat Dini. “Adalah tu. Sirrun,”


“Ala, apa pulak rahsia – rahsia ni. Ilmu Allah, buat apa dirahsiakan. Sebarkan, agar sekalian umat, tahu tentang kebesaran dan keagungan Allah,” jawab Dini petah. Rasyidah dan Amira tertawa mendengar kata – kata Dini.


“Amboi, seronoknya ketawa. Tak ajak kami,” ujar Azimah dengan nada merajuk. Gelas berisi air sirap diletakkan di atas meja lalu dilabuhkan punggungnya bersebelahan Amira diikuti Iylia.


“Dia ni, Azimah. Kedekut ilmu,” balas Dini laju sambil mencebikkan bibirnya. Iylia dan Azimah memandang ke wajah Rasyidah. Rasyidah tersengih.


“Tak baik kedekut ilmu tau,” ujar Iylia sambil menjengilkan matanya. Mereka serentak ketawa melihat telatah Iylia.


“Okeylah. Nak tahu sangat kan. Hari ini, kita akan bercakap tentang ujian. Memandangkan exam SPM dah nak dekat ni,” ujar Rasyidah tenang.


“Alah, ni yang buat saya lemah lutut ni. Cakap pasal exam sahaja, mesti rasa nak demam,” ujar Iylia laju.


“Kenapa pula macam tu?,” tanya Rasyidah. Semua memandang Iylia. Menantikan jawapan.


“Takut,” ujar Iylia sambil mencebikkan mulutnya lalu menundukkan wajahnya. Semua tergelak melihat telatah Iylia.


“Takut gagal?,” teka Rasyidah. Iylia mengangguk. Rasyidah tersenyum melihat reaksi Iylia. “Seorang mukmin harus berani. Bukankah kita dah berusaha. Allah kan dah berjanji,  ‘setelah kamu berazam, maka bertawakallah kepada Allah. Iylia kan dah berusaha, insya-ALLAH akan ada hasilnya. Sebenarnya…,” Rasyidah berhenti berbicara lalu memandang ke wajah sahabat – sahabatnya yang tercinta. Semua mata memandang ke wajah Rasyidah. Menanti penuh sabar bicara seterusnya.



“… ujian bukan setakat di atas kertas tetapi juga dalam kehidupan seharian. Saban hari, kita diiuji dan terus diiuji. Kita diiuji dengan godaan syaitan, dalam pembelajaran kita, dan mungkin juga diiuji dengan perasaan.”


“Betul tu. Tanpa kita sedari, kita diiuji dari pelbagai sudut, dari pelbagai arah, dari pelbagai bentuk.” Tambah Dini.


“Tapi, kenapa kita perlu diiuji? Apakah Allah ciptakan manusia untuk diiuji?,” tanya Amira setelah sejak tadi mendiamkan diri.


“Semestinya tidak, sayang. Allah kan dah berfirman dalam Surah Az-Zariyat ayat 56, yang membawa maksud,


“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah”


“Allah tidak menciptakan sesuatu itu dengan sia – sia,” balas Ainsyah sambil mengenyitkan mata kepada Amira.


Azimah tersenyum. “Tepat sekali, Ainsyah. Allah juga ada berfirman dalam surah Ali Imran, yang membawa maksud,

'Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia'

"Lihat, Allah sayangkan kita. Ujian yang Allah berikan untuk kita, bukan tanda Allah tak sayang."


Rasyidah yang mendengar kata - kata Azimah itu mengangguk lembut. "Dalam surah Al-Ankabut, ayat 2 dan 3 yang bermaksud,

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.”


“Ujian daripada Pencipta kepada hambaNya untuk melihat sejauh mana kita bergantung kepadaNya. Untuk melihat sejauh mana kita beriman kepadaNya. Untuk melihat sejauh mana kita percaya tentang kekuasaanNya. Saban hari bibir kita basah mengakui kita beriman kepadaNya dan ternyata, Allah SWT menguji bagi melihat sejauh mana kita melaksanakan bicara kita itu.”



“Saya setuju. Lagipun, kalau hidup di dunia ini tanpa ujian, mana best. Tak rock lah. Hidup pun suram sahaja. Macam dalam masakan. Bukan letak gula sahaja. Garam, sos tomato, sos cili, asam jawa, semuanya letak. Barulah masakan itu terangkat,” balas Iylia nakal.



“Yalah tu. Lepas ni jangan nak merungut pulak bila time exam.” ujar Ainsyah sambil memandang Iylia.


“Oh, yang tu lain cerita,” ujar Iylia dengan wajah selamba.


“Pulak dah, kita baru lepas bincang,” Rasyidah membalas sambil menjeling kepada Iylia. Iylia tersengih. Kemudian, kelima – lima sahabat itu tertawa.


Di sebalik keriuhan lima sahabat itu, ada jiwa yang terasa.


Ada jiwa yang terpukul.


***


Amira berlari pantas menuju ke bilik rehat. Tempat di mana sahabat – sahabatnya dikurung. Langkahannya semakin pantas. Bimbang akan keselamatan mereka semua.Sebaik sahaja sampai di bilik rehat, Amira segera memulas tombol pintu. Terkunci. Segera dia berlari ke arah perpustakaan. Dia yakin, ada sebilangan sahabat – sahabatnya dikurung di perpustakaan. Sebaik sahaja dia melangkah, jantungnya terasa berhenti berdegup. Kakinya terasa longlai. Tidak mampu berdiri lagi. Air matanya mula mengalir laju tanpa dipinta. 8 orang sahabatnya tergantung di lampu! Terasa gelap dunianya melihat situasi itu. Kakinya melangkah longlai. Biarpun lemah, digagahkan jua.


“Ika, bangun Ika,” digoyangkan kaki sahabatnya yang tergantung itu. Mengharapkan sahabatnya itu masih bernafas. Matanya memandang tepat pada mata Syafiqah. Mengharapkan sahabatnya itu membuka mata. Namun, hampa. Syafiqah sedikitpun tidak memberi sebarang reaksi. Amira menjadi nanar. Segera dia mendekati Syakirah Omar, Aishah Najeehah, Tengku, Munira, Shahirah, Shahida dan Najwa. Mengejutkan mereka, dengan harapan, sahabat – sahabatnya itu masih lagi bernyawa. Biarpun tipis.


“Syak, bangun Syak. Aku dah sampai ni,”


“Tengku, bangunlah,”


“Aishah, bangunlah. Aku datang ni,”


“Najwa, bangunlah. Jangan tinggalkan aku,”


“Shiah, bangun Shiah. Mira ada ni,” Amira menggoyangkan kaki Shahirah.


“Eyda. Aku dah sampai ni. Bangun, Eyda,” Kaki Shahida digoyangkan.


“Ya, bangunlah. Kan Ya dah janji nak bersama Mira, walau apa jua keadaan sekalipun.” tiada sahutan dari Munira.


Tiada sahutan dari sahabat - sahabatnya.

Tiada sebarang reaksi daripada sahabat - sahabatnya.

Hanya suara Amira bergema. Amira terduduk lemah.


“Korang, maafkan aku. Maafkan aku,” ujar Amira diiringi dengan tangisannya. Tangisan sesalan. Kerana dirinya, sahabatnya terbunuh. Kerana dirinya, sahabatnya mati dalam keadaan tragis. Tergantung di lampu perpustakaan! Kejam!


Segera Amira bangkit. Teringat akan sahabat - sahabatnya yang masih berada di bilik rehat. Masih hidupkah mereka? Segera Amira berlari menuju ke bilik rehat semula. Mengharapkan sahabat – sahabatnya yang lain masih bernyawa. Besar harapannya. Mulutnya tidak putus – putus berdoa agar sahabat – sahabatnya itu masih selamat. Segera ditendang pintu. Gagal. Pintu bilik rehat sedikitpun tidak terbuka. Ditendang sekali lagi. Pintu bilik rehat terbuka sedikit. Ditendang sekali lagi, pintu bilik rehat terbuka. 


Sebaik sahaja pintu rehat terbuka, hatinya luruh. Dunianya terasa gelap seketika. Dihadapannya kini, sahabat – sahabatnya bergelimpangan di atas lantai bilik rehat. Masih bernyawa atau tidak, dia sendiri tidak pasti. Yang pasati, bilik itu dipenuhi dengan percikan darah. Di dinding bilik rehat juga sudah bertukar warna.Air matanya mengalir laju. Langkah diatur memasuki bilik rehat.Mengharapkan ada dikalangan teman - temannya masih bernyawa. Dipandang satu persatu wajah sahabat – sahabatnya yang dicemari dengan darah. Lalu didekati salah seorang sahabatnya. Nafisah. Amira memangku kepala Nafisah sambil menepuk pipi Nafisah perlahan.


“Nafisah, bangun Nafisah,”. Diam. Tiada reaksi. Diperiksa nadi Nafisah. Tiada denyutan. Amira memejam mata. Hatinya pilu. 


Amira segera mendekati Hasfaiza yang terbaring di sebelah Nafisah. Dipangku kepala Hasfaiza lalu menepuk perlahan wajah Hasfaiza.


“Iza, bangun Iza. Aku ada ni,” ujar Amira dengan suara yang serak. Hasfaiza membuka mata perlahan – lahan.


Tangisan Amira semakin lebat. Gembira. Bersyukur kerana masih ada sahabatnya yang masih hidup. Biarpun keadaan Hasfaiza parah.


“Iza, kau okey? Jangan tinggalkan aku. Aku dah tak ada siapa – siapa lagi,” ujar Amira.


“Kenapa kau sanggup buat kami macam ni? Kenapa kau libatkan kami? Kami tak bersalah. Kau bunuh kami, Mira. Kau bunuh sahabat – sahabat kita. Kau kejam,” ujar Hasfaiza tersekat – sekat.


“Maafkan aku, Iza. Maafkan aku. Aku sudah cuba sedaya upaya untuk selamatkan korang semua. Tapi, aku gagal. Maafkan aku,” ujar Amira. Hasfaiza diam. Perlahan – lahan Hasfaiza menutup mata.


“Iza, jangan tinggalkan aku, Iza. Aku dah tak ada siapa – siapa lagi” Perlahan – lahan pipi Hasfaiza ditepuk. Tiada sebarang reaksi.


Amira meletakkan kepala Iza perlahan - lahan, lalu berdiri. Dipandang satu - persatu wajah sahabatnya yang sudah tidak bernyawa. Dirinya menjadi nanar. Telinganya masih terngiang – ngiang suara Hasfaiza. Bagaikan direkod.

“Kau bunuh sahabat – sahabat kita,”


“Kau bunuh sahabat – sahabat kita,”


“Kau bunuh sahabat – sahabat kita,”


"Kau kejam,"

“Tidak, aku bukan pembunuh!!!,”



~bersambung~