Tuesday 10 February 2015

Pergilah Dikau Wahai Pencinta Kalamullah

Assalamualaikum

Selepas Asar tadi, dapat berita daripada Kak Mimi. Tuk Guru yang mengajar aku tajwid dulu telah pulang ke rahmatullah. Alfatihah buat beliau.

Terpalitkan kenangan bersama beliau.

Sebelum bertemu, Kak Nana selalu cerita.

“Ustaz Wei tu garang. Kalau dia marah, dia campak meja, senget hidung budak tu,”

“Ustaz Wei pernah rotan budak, sampai cabut bontot dia,”

Aku yang baru nak masuk fardhu ain, terus tak nak pergi. Tapi jelingan maut daripada Abah, kena pergi jugak.

Tapi, bila dah berjumpa. Allahu. Dia punya aura tersendiri.

Tegasnya sentiasa. Marahnya berpada. Lawaknya bertempat. Hukum hakam Tuhan didahulukan. Abah pernah berguru dengan beliau. Berguru untuk perbetulkan bacaan AlFatihah. Aku, lima beradik, memang berguru dengan beliau.

Kalau di fardhu ain,bunyi motor beliau, sudah cukup untuk memanggil semua budak – budak masuk kelas. tak payah susah – susah nak loceng bagai.

Kalau beliau imani solat terawikh, pasti setiap malam Jumaat akan dilakukan solat sunat tasbih. Pasti. Dan bacaan dalam solat ketika melakukan solat sunat tasbih, adalah surah al-Baqarah. Yap. Memang panjang. Kadang ada yang balik. Kadang ada yang separuh jalan. Kadang ada yang tumbang pasal ngantuk sangat. Mak Abah memang suka kalau solat Terawikh bersama beliau. Aku adik beradik, kalau hari Khamis bulan puasa je, tetiba jadi berat tulang.

Beliau. Ustaz Wei. Guru Tajwid.

Allahu. Moga dicucuri rahmat.


Alfatihah.

Thursday 1 January 2015

Jiwa Kita Milik Tuhan


" Allahuakbar Allahuakbar "

" Allahuakbar Allahuakbar "

Ali dan Omar saling berpandangan sesama mereka.

Seruan itu seolah - olah memanggil mereka.

Segera dua kanak - kanak comel itu meninggalkan permainan mereka. Seruan itu lebih penting. Langkah diayun laju. 

Di suatu sudut, Yunus dan Yusuf, yang juga turut mendengar seruan keramat itu, segera meninggalkan jualan mereka. Sebelum meninggalkan barangan jualan mereka, mereka segera mencapai kanvas lalu ditutupnya barangan jualan. Setelah selesai, mereka mula mengorak langkah. Menuju ke arah seruan itu.

Di sudut lain pula, Pak Cik Musa, yang sedang bermain bersama cucunya, Ibrahim, segera berhenti bermain sebaik sahaja mendengar seruan itu. Dengan menggunakan kudratnya yang masih bersisa, didukungnya Ibrahim lalu mencapai tongkat. Dengan langkah yang sedikit pincang, digagahkan jua untuk melangkah dengan bantuan tongkat, menuju ke tempat itu. Tempat di mana seruan itu dilaungkan

Di masjid, kelihatan Omar dan Ali sudah bersiap sedia, membentangkan sejadah buat jemaah. Yunus berada di tempat wudhuk. Mengambil wudhuk. Yusuf khusyuk dengan bacaan ayat - ayat suci al-Quran. Mengisi waktu sementara menanti bilal melaungkan iqamat. Kelihatan Pak Cik Musa baru sahaja sampai bersama cucunya. Yunus yang baru sahaja mengambil wudhuk segera menegur Pak Cik Musa. Diambil Ibrahim daripada dukungan Pak Cik Musa lalu dibawa ke tempat wudhuk. Dibantu anak kecil itu untuk mengambil wudhuk. Pak Cik Musa tersenyum lalu dia mula melangkah ke tempat wudhuk.

"Allahuakbar"

Imam mengangkat takbir. Masing - masing khusyuk. Bersujud. Pada Yang Satu.


# Apa yang aku bayangkan. Apa yang aku impikan. Indahkan kalau hambaNya taat pada perintahNya. Bersama menuju ke Syurga. Berpimpinan tangan. Allahuakbar.