Thursday 29 March 2012

Matematik!!!

Assalamulaikum

Dalam banyak – banyak subjek, subjek yang melibatkan pengiraanlah yang aku paling kronik, terutama Matematik. Tak tahu kenapa. Sejak dari sekolah rendah dan sampai sekolah menengah pun minat pada pengiraan ni masih samar – samar. Tapi, Alhamdulillah, dengan bantuan guru – guru, aku dapat keputusan yang baik dalam subjek Matematik akhirnya.

Terima kasih kepada guru – guru subjek Matematik yang tak pernah jemu bantu aku yang pemalas tahap mega.

Darjah satu – Cikgu Rohana – Time ni, bagi aku, Matematik senang amat. Tambah tolak. Hoho. Anggap Matematik ni kacang je. Tapi, suatu hari pernah kena sebiji penangan dengan Cikgu Rohana. Haha. Main – main sangat time buat latihan. Padan muka. Apapun, terima kasih Cikgu Rohana.

Darjah dua – Cikgu Sajaratudur – Time ni, bila tiba waktu Matematik, memang gementar sangat. Cikgu garang. Pernah kena cubit sebab salah salin soalan. Haha. Apapun, terima kasih Cikgu. Kalau tak kerana kegarangan cikgu, sure sifir masih tergagap sampai sekarang.

Darjah dua – Cikgu Manisah – Guru ganti bagi Cikgu Sajaratudur yang cuti bersalin. Sangat – sangat bersemangat bila mengajar. Comel. Paling tak boleh lupa, kena jalan itik sebab tak ingat sifir tujuh. Masa tu, sifir dua dengan sembilan je ingat. Sebab senang. Haha. Apapun terima kasih Cikgu Manisah. Kalau tak kerana denda suruh jalan itik, sampai sekarang ana tak tahu yang jalan itik sebenarnya sangatlah memenatkan.

Darjah tiga – Cikgu Azlin – Sangat tegas. Tapi start tahun ni la ana jadi makin jauh dengan Matematik. Entah mengapa. Tapi dalam ramai – ramai anak murid, akulah yang paling glamour sebab selalu careless. Ayat glamour Cikgu Azlin. “Ana, pergi buat jalan kira kat depan. Kali ni, jangan cuai.” Tak careless pun, salah jugak. Salah sebab salah salin soalan. Aduh. Apapun terima kasih Cikgu Azlin.

Darjah empat – Cikgu Rohanizam – Lembut dan tenang. Tak pernah marah. Mengajar Matematik dan Bahasa Melayu. Time ni, aku paling malas tahap kronik. Bila ada kerja rumah Matematik, aku akan suruh adik aku yang darjah tiga buat. Haha. Jangan tiru. Lepas tu, mula la. Terkial – kial bila disuruh tunjuk jalan kira. Bila ditanya markah yang paling rendah, akulah dengan perasaan malunya yang akan angkat tangan. Ayat famous Cikgu Rohanizam, “Ana biasalah, pakai tembak je la tu,”. Ya, tepat sekali Cikgu. Tapi tembakan yang tidak mengena. Tak boleh masuk polis ni cikgu. Cikgu Rohanizam, terima kasih banyak – banyak.

Darjah lima – Arwah Cikgu Aminah – Time ni, semangat sikit nak belajar Matematik sebab tahun depan dah UPSR. Belajar sungguh – sungguh, tapi fokus? Hampeh. Selalu dapat markah terendah. Tahun ni, arwah cikgu banyak tak ada dalam kelas. Banyak dugaan yang menimpa diri arwah cikgu. Suami arwah cikgu kembali ke rahmatullah, dan arwah cikgu disahkan menghidap kanser. Tapi, dalam kepayahan mengharungi dugaan hidup, arwah cikgu masih fokus dan ambil berat pada aku. Buat arwah Cikgu Aminah, terima kasih diucapkan. Jasamu dikenang. Moga Allah sentiasa mencucuri rahmat.

Darjah enam – Cikgu Rohana – Ha, tahun exam. Apalagi, terpaksa fokus betul – betul la. Tapi susah amat. Yalah, aku kena cover semua – semua yang aku belajar. Susah amat. Tetapi kesabaran Cikgu Rohana, memang aku tabik. Tak jemu – jemu ajar aku. Ayat glamour Cikgu Rohana bila ditanya tentang markah ujian. “Ana ni main tembak je tau. Tak pun main bom. Sebab tu salah banyak. Berapa banyak mu bom ana hoi. Berlubang tak kertas tu?,” Haha. Memang saya bom cikgu. Mujur tak guna nuklear. Tapi bom apa yang saya guna tak tahu la. Masa tu, masih terkial – kial lagi, masih merangkak lagi dalam usaha untuk memahami apa itu Matematik. Cikgu Rohana, terima kasih.^^

Darjah enam – Cikgu Dait – Bekas pengetua sekolah aku tapi masih buat kelas tambahan untuk bekas  anak – anak murid beliau kat balai raya. Free pulak tu. Kertas latihan, beliau sponsor. Tak jemu – jemu tanya tentang markah Matematik aku dan bagi pendapat macam mana nak tingkatkan markah aku. Dan sampai sekarang, andai aku terserempak dengan beliau, beliau masih mengambil berat tentang pelajaran aku. Bertanyakan itu dan ini. Sangat terharu. Cikgu Dait, terima kasih.

Tingkatan satu – Teacher Masdiana – Masa ni, seronok belajar Matematik sebab teacher pun jenis layan kepala ana yang tak berapa nak betul. Sabar jugak Teacher Masdiana jawab soalan – soalan ana. Masa tu, semangat baru. Nak belajar betul – betul. Teacher Mas, terima kasih. Pengorbananmu, takkan pernah aku lupa.

Tingkatan dua – Teacher Sharifah Nurah – Teacher yang sangat manis mukanya dan murah dengan senyuman. Lemah lembut, dan sopan santun. Sempat bersama aku selama dua bulan dan kemudian berpindah ke salah sebuah sekolah di Dungun. Teacher Sharifah, terima kasih ajar saya. ^^

Tingkatan dua – Cikgu Zikri – Cikgu yang sangat sporting. Menggantikan Teacher Sharifah. Suka bercerita tentang pengalaman beliau yang dulu. Seronok. Sehinggalah suatu hari, terjadi satu  peristiwa yang menyebabkan peristiwa itu, menjadi modal untuk Cikgu Zikri beri semangat kepada pelajar beliau yang lain. Haha. Peristiwa ketika belajar pythagoras theorem. Sebaik sahaja Cikgu Zikri selesai beri penerangan, beliau tanya:

“Faham tak?,” Semua mengangguk dan hanya aku menggeleng. Serius aku tak paham. Mata aku hanya nampak nombor. Tapi tak tahu bagaimana terciptanya formula tu. Cikgu Zikri beri penerangan lagi. Sebaik selesai, beliau tanya lagi:

“Faham tak?,” Semua mengangguk dan hanya aku menggeleng. Cikgu Zikri beri penerangan lagi. Sebaik selesai, beliau tanya lagi:

 “Faham tak?,” aku menggeleng lagi. Time tu rasa macam nak nangis dah. Apa ni, semua faham aku sorang je tak faham. Dah tiga kali terang tak faham - faham jugak. Air mata dah mengalir laju. Tengah Cikgu Zikri syok – syok terang, tiba – tiba beliau pandang aku.

“Kenapa awak nangis?,” Alamak, cikgu perasan. Semua pandang aku. Apa lagi, terus aku sorok bawah meja. Ketika tu, belajar guna meja komputer. Jadi, apabila menyorok, orang depan tak nampak la. Hanya orang sebelah yang nampak.

“Okey, kita rehat 10 minit. Jangan stress, belajar kena relaks.” Cikgu Zikri buat pengumuman. Lalu Cikgu Zikri duduk di meja sambil bercerita. Haha.

Tahun depan pulak, aku dengar adik – adik junior aku bercerita kepada aku tentang seorang pelajar menangis masa belajar Matematik. Gulp!. Bila aku tanya dari mana dapat cerita, dia bagitahu, Cikgu Zikri yang cerita. Haha. Setahun kemudian, aku dengar lagi. Seolah – olah cerita turun temurun. Macam cerita hikayat dongeng la pulak. Mujur cikgu tak sebut nama. Apapun, terima kasih, Cikgu Zikri, sebab sudi sabar dengan saya.

Tingkatan tiga – Teacher Rohani – Punya stratergi tersendiri untuk pelajar – pelajar beliau senang faham. Tapi, aku je masalah yang tak faham – faham. Hehe. Time ni, selalu nangis sebab tak faham. Aiseh. Kawan pun tegur. Masih ingat ayat pedas dia, masa tengah buat latihan. “Jangan nangis. Kalau nangis, sampai bila tak siap,”. Bila nak dekat exam PMR, lagi kerap Teacher Rohani dekati aku. Ada sahaja jalan untuk bantu aku. Teacher, arigato^^

Tingkatan empat & lima – Teacher Samihah – Kecil molek, comel amat. Suaranya slow, tapi lantang. Selalu sangat aku terlena waktu beliau. Kadang – kadang kasihan gak tengok Teacher Samihah yang tak jemu – jemu kejutkan aku. Tapi, nak buat macam mana. Sumpahan mana entah. Setiap kali beliau masuk, sure aura – aura mengantuk menguasai aku, membelai aku supaya aku tidur. Aduh. Masuk tingkatan lima, semangat la jugak nak belajar Matematik tapi, masalahnya, tingkatan empat punya masalah, tak cover lagi. Apalagi, bak kata Teacher Suriani (guru kimia), jahil terkumpul. Hehe. Tapi, Teacher Samihah tak pernah jemu bantu aku. Sanggup balik rumah pukul 6.00 petang semata – mata nak ajar aku. Sanggup curi masa, semata – mata nak ajar aku. Sanggup jadi guru pengganti, semata – mata nak ajar aku. Tak cukup dengan itu, aku dan beliau pernah duduk bersila sebelah menyebelah semata – mata nak buat pembetulan kertas percubaan. Usaha beliau untuk buat pelajarnya cepat ingat, iaitu menggunakan marker, pen yang berwarna – warni. Aku memang respect amat pada beliau. Dan akhirnya, aku dapat laksanakan apa yang beliau impikan. Alhamdulillah. Teacher, terima kasih. Jasamu kan tetap Ana kenang hingga akhir hayat.

Bila aku ingat balik, segala pengorbanan mereka, takkan pernah aku lupa. Aku saje khaskan untuk matapelajaran Matematik sebab aku memang tak minat Matematik. Haha. Apapun, buat semua guru - guru yang pernah mengajar Ana, tak kisahlah sekejap mahupun lama, jutaan terima kasih Ana ucapkan. Mana mungkin Ana mampu bayar dan segala jasa serta keringat mereka. Terima kasih cikgu - cikgu semua. Al - Fatihah buat arwah Cikgu Aminah, arwah Ustaz Azwan, arwah Ustazah Marini.

Thursday 22 March 2012

Mulianya Rasulullah

Kalau ikut perangai ana yang dulu, dah lama ana buat tendangan sudut untuk orang yang hina ana. Haha. Sesetengah orang, sure akan balas dendam pada orang yang benci kita, orang yang caci kita. Siram asid pun jadilah.Tak pun bomohkan... Hehe. Syirik ho.Berdosa besar. Sesetengah orang, jauhkan diri dari orang itu, dan berharap orang itu, kembali kepada jalan yang benar. Tapi, cuba kita lihat, bagaimana Rasulullah S.A.W. berhadapan orang yang membenci Rasulullah S.A.W. 


Di sudut pasar Madinah Al-Munawarah seorang pengemis Yahudi buta, hari demi hari apabila ada orang yang mendekatinya ia selalu berkata "Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya". Setiap pagi Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapi makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah SAW melakukannya setiap hari hingga menjelang Beliau SAW wafat.


Setelah kewafatan Rasulullah tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Suatu hari Abu Bakar r.a berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.ha. Beliau bertanya kepada anaknya, "Anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan", Aisyah r.ha menjawab pertanyaan ayahnya, "Wahai ayahanda engkau adalah seorang ahli sunnah hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayahanda lakukan kecuali satu sunnah saja". "Apakah Itu?", tanya Abu Bakar r.a. "Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana", kata Aisyah r.ha.

Keesokan harinya Abu Bakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abu Bakar r.a mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepada nya. Ketika Abu Bakar r.a. mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil berteriak, "Siapakah kamu ?". Abu Bakar r.a menjawab, "Aku orang yang biasa". "Bukan !, engkau bukan orang yang biasa mendatangiku", jawab si pengemis buta itu. "Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya setelah itu ia berikan pada ku ", pengemis itu melanjutkan perkataannya. Abu Bakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, aku memang bukan orang yang biasa datang pada mu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada lagi. Ia adalah Muhammad Rasulullah SAW. Setelah pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar r.a. ia pun menangis dan kemudian berkata, benarkah demikian?, selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia.... Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadah dihadapan Abu Bakar r.a.


Keindahan akhlak Rasulullah, memang tak ada tandingan. Tak hairanlah baginda digelar Kekasih Allah.

Wednesday 21 March 2012

Ombak rindu


Ombak rindu versi taubat.Lagu yang punya mesej tersendiri dan terkena tepat pada batang hidung ana. Haha.

Ombak rindu versi taubat

Tuhan tolong lembutkan hati hamba
Untuk mencintaiMu sepenuh jiwaku
Kerna ku tak sanggup
Kerna ku tak mampu
Menghadapi siksa nerakaMu

Tuhan aku tahu banyak dosaku
Hanya ingatkanMu kala dukaku
Namun hanya Kamu yang mampu membuka
Pintu hatiku untuk cintaMu

Allah… Ampunkanlah hambaMu
Yang selalu dustakan janjiku
Agar kelak ku takkan disiksa
Kerna dosa – dosa masa lalu

Allah jatuh air mataku
Yang terus mengalir mengiring doaku
Allah yang mengampuni segala hamba
Yang meminta

Hanya mampu berdoa
Moga maghfirah tiba nanti

Monday 19 March 2012

Solat

Assalamualaikum

Soalan famous bila berbicara tentang solat :)

Kenapa kita perlu solat?

Pertanyaan yang membuatkan aku juga berfikir. Ha’ ah la. Apasal kita kena solat? Tapi buat apa nak kusut – kusut. Orait, cuba bayangkan kita tengah main layang – layang. Sebab apa layang – layang boleh terbang tinggi? Sebab ada angin kan? Kalau tengok  budak – budak pun, mesti diorang main bila ada angin. Tengah syok – syok main, tiba – tiba pulak tali layang – layang terputus. Alahai, spoil la. Tapi, kita tengok, apa yang terjadi pada layang – layang? Melayang dengan perlahan, kemudian jatuh ke tanah. Jatuh atas pokok pun boleh jadi. Ha, begitulah ibaratnya mengapa kita perlu bersolat. Layang – layang itu, ibarat manusia dan tali itu ibarat solat. Penghubung antara kita dan Allah. Andai kita tak solat, terputuslah hubungan kita dengan Allah. Dan kita? Apa akan jadi? Sudah semestinya hidup menjadi terumbang ambing, tak tentu hala. Hati pun tak tenang. Begitulah ibaratnya. Angin yang datang kadangkala kuat, kadangkala perlahan yang mana menyebabkan kita perlu kawal tali layang – layang itu agar layang – layang masih boleh melayang tinggi. Angin itu, ibarat cabaran dan dugaan dalam hidup kita. Andai kita hampir rebah, kita adukan pada Allah dan Allah akan anugerahkan buat kita agar kita terus bangkit dan meneruskan hidup. Sebab itu kita perlu solat. Dengan solat, kita berinteraksi terus dengan Allah. Hidup di dunia ini penuh dengan onak dan duri dan pada siapa lagi kita mahu bergantung. Pada mak dan ayah? Mereka akan mati. Pada siapa lagi kalau bukan pada Allah. Allah yang menciptakan kita. Jadi, jangan malas – malas nak solat ye.

Ada orang, siang malam solat tapi masih sebar fitnah, ambil rasuah dan sebagainya. So, orang yang tak solat sama je dengan orang yang solat. Still buat kejahatan, kan?

Firman Allah dalam surah Al – Ankabut ayat 45 yang bermaksud:

“Sesungguhnya solat itu mencegah berlakunya perbuatan keji dan mungkar,”

Ehem, kalau dah solat siang malam, tapi masih buat perkara mungkar, mungkin ada masalah ketika solat. Mungkin tak khusyuk sewaktu solat. Mungkin masa solat, teringat anak perempuan jiran sebelah, teringat mamat yang kita jumpa kat pasar hari tu, teringat drama yang sedang ditayangkan di televisyen. Biasalah, bisikan syaitan takkan lepas dan sentiasa berdendang di telinga. Sedangkan kalau kita solat betul – betul, dengan khusyuk, pasti kita akan rasa tenang dan damai. Solat jugak sebenarnya dapat memberi impak yang besar kepada jiwa dan dapat mempengaruhi sikap serta perlakuan seseorang dalam kehidupan seharian. Jadi, check balik solat kita. Bagaimana kita mengambil wudhuk? Rata atau tidak? Sempurna atau tidak? Bagaimana pulak dengan pakaian kita? Ada najis atau tidak? Begitu juga tempat solat. Semua perlu diperiksa.


Lecehlah solat ni, lima kali sehari. Dah la ada banyak rakaat. Ganggu kehidupan seharian. Kalau solek pun, kena bersihkan dulu solekan tu. Penat – penat solek, kena bersihkan pulak. Tak rasa banyak ke lima kali sehari?


Tak pernah ke nak tanya, lecehlah, asyik main facebook, main twitter dan seangkatan dengannya. Tak pernah ke nak tanya, lecehlah, asyik shopping je. Tak pernah ke nak tanya, lecehlah, asyik lepak je. Tak pernah ke nak tanya lecehlah asyik bersolek je. Hoho. Sebenarnya, jika kita dengar tentang kisah Rasulullah, ketika Allah sampaikan perintah untuk solat, iaitu 50 waktu. Rasulullah telah memohon kepada Allah untuk mengurangkan bilangan solat kerana khuatir umatnya tidak mampu untuk melaksanakan 50 waktu. Lalu, Allah menjadikan 45 waktu, dan Rasulullah mohon lagi. Allah kurangkan lagi, dan Rasulullah memohon lagi sehinggalah bilangan waktu untuk solat menjadi 5 waktu. Apakah 5 waktu itu masih banyak? Chatting dengan kawan tiap – tiap hari, tak ada pulak rasa bosan? Tak ada pulak adu masa terlalu banyak dihabiskan untuk chatting.

Waktu untuk solat tu, bagi aku sedikit pun tidak menganggu waktu kerja. Betul ke solat ni ganggu kehidupan seharian? Jom periksa.

Subuh – Apa yang ganggu nye? Time ni, bangun, dan solat Subuh. Bukan jadi penghalang pun. Yang jadi penghalangnya, sebab kita ni malas nak bangun. Ni mesti kes liat nak bangun pagi. Ehem, nak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kalau kita boleh bangun sebab nak pergi kerja, apasal kita tak boleh bangun untuk kerjakan solat?

Zohor –Tapi bukan ke waktu ni waktu rehat bagi sesiapa yang bekerja di pejabat kan? Aku rasa, time ni time yang paling genting. Waktu tengah hari la katakan. Panas, mengantuk, letih dan sebagainya. Bila ambil wudhuk, panas tak terasa, hilang mengantuk dan bila solat, kita seolah – olah melakukan regangan ringan. Sesuai sangatlah yang kerja di pejabat. Kalau tak caya, cubalah sendiri. Kalau di Jepun, mereka digalakkan tidur pada waktu – waktu sebegini. Alasan mereka mudah iaitu untuk melahirkan hasil kerja yang produktif dan inovatif. Cewah, ayat apa ni? Bantai je la. Kiranya, mereka amalkan sebab untuk rehatkan otak yang sudah penat bekerja sejak pagi lagi. Sebenarnya cara ni dah digunakan oleh Rasulullah S.W.T. Dipanggil qalilullah. Tidur sebentar sebelum Zohor. Tapi, sesetengah pejabat hanya bagi 1 jam sahaja untuk berehat. Jadi, bila lagi nak tidur, nak makan, nak solat. Jadi, kalau tak sempat nak tidur, alternatif terbaru, iaitu solat. Solat jugak dapat rehatkan otak sebenarnya.

Asar – Time ni kan waktu pulang dari pejabat. Jadi, balik rumah terus solat. Tak susah pun. Kalau tak sempat, sebab jarak antara pejabat dan rumah jauh, solatlah kat pejabat. Tak pun berhenti di masjid – masjid di tepi jalan. Bukan ke kerajaan dah bina banyak masjid? Tiada halangan melainkan malas. Hehe. Yang terasa menganggu tu sebab lepas balik kerja dah pacak dalam kepala, lepas ni nak pergi pasar minggu, pasar tani, pasar raya. Apa salahnya, luangkan masa sekejap untuk solat. Kalau boleh luangkan masa untuk ke pasar minggu, pasar raya, pasar minggu, takkan tak boleh luangkan masa untuk solat kan?

Maghrib – Ada lagi ke yang bekerja waktu ni? Kalau ada, apa salahnya berhenti sebentar dan sambung balik kerja. 5 minit je. Takkan tak boleh nak berhenti kot. Habis lama pun 10 minit. Tambah waktu berwirid, agak – agak 15 minit. Apa lah sangat kalau 15 minit pun. Takkan kena buang kerja kot. Mana yang nak pilih? Habiskan masa 15 minit untuk solat atau habiskan masa kat nerekaNya?.

Isya’ – Ha time ni ramai yang terbabas. Yalah, time ni la nak makan malam, nak buat mesyuarat, nak tengok bola, nak tengok tv, drama dah menanti!. Lepas drama, movie night pulak. Sampai pukul 1.00 pagi. Kalau ingat nak solat tak pe lagi. Tapi bila tengah asyik melayan movie, tiba – tiba pulak mata melabuhkan tirai. Jawabnya, solat Isya’ qadha esok harilah. Alhamdulillah Allah jadikan waktu Isya’ panjang. Mana tahu kot – kot tengah tidur, tiba – tiba terjaga tengah malam atau lepas balik tengok perlawanan bola. Waktu Isya’ masih ada lagi dan boleh tunaikan solat. Aturan Allah ini indah bukan?


Jadi, sibuk bukan alasan untuk tak tunaikan solat. Sedangkan sakit pun kita masih perlu solat, inikan pula berkaitan urusan dunia. Sibuk bukan alasan. Bila Allah nak tanya apasal tak solat, nak jawab aku sibuk? Macam tu?

Bab solek pulak. Sedar atau tidak, bahan solek ni kebanyakannya ada bahan kimia. Bukan kebanyakkan. Memang ada pun. Kalau 24 jam kat muka dengan bahan solek, tak ke rosakkan kulit? Lagipun, bila kita ambil wudhuk, kita basuh muka. Dapat bersihkan wajah dari semua kotoran dari habuk dan debu. Lima kali sehari, 3 kali setiap ambil wudhuk. Kiralah berapa kali korang cuci muka. Tak payah buat facial kat kedai. Ambil wudhuk pun dah dikira facial apa. Ala kalau kena hujan pun solekan akan tanggal jugaklah.

Sabda Rasulullah, “Perbezaan di antara seorang muslim dengan orang kafir adalah meninggalkan solat,”. Ehem-ehem...

Saturday 17 March 2012

Modal Akhirat

Dalam keseronokkan mengejar kemewahan dunia, mengumpul rezeki, kita terlupa bahawa akan ada hari akhirat. Kita terlupa untuk mencari kemewahan akhirat. Kita terlupa mengumpul rezeki akhirat. Cuba fikir semula. Apakah yang akan kita bawa di akhirat nanti ketika berhadapan dengan Allah. Harta kita yang kita bermandi peluh untuk mendapatkannya? Tidak sama sekali.Harta itu sendiri akan hilang dan tidak akan menjamin apa - apa ketika di hadapan Allah. Apa yang akan kita persembahkan di hadapan Allah nanti? Jom, sama - sama melaburkan saham untuk akhirat.


1) Berdoa

Doa adalah senjata bagi mukmin. Walau semiskin mana pun kita, walau sekaya mana pun kita, jangan lupa menadahkan tangan dan berdoalah. Doa itu sebenarnya mendekatkan diri kita dengan Allah S.W.T.


2) Memperbanyakkan amalan - amalan sunat.

Perbanyakkan solat sunat, puasa sunat dan lain - lain. Tetapi, jangan kerana ingin memperbanyakkan amalan - amalan sunat, amalan yang wajib kita patuhi, kita tinggalkan. Ya, mungkin  berat untuk kita amalkan. Tapi, kita fikir balik. Kita boleh memperbanyakkan latihan untuk meningkatkan kemahiran kita tetapi kenapa kita tidak boleh memperbanyakkan amalan - amalan sunat? Bukankah cantik andai kita seiringkan?  ^^


3) Membaca Al - Quran

Bacalah al - Quran. Jika rajin, tadaburlah ayat - ayat yang terdapat Al - Quran. Jika diselami dan dihayati setiap ayat, pasti kita akan menyebabkan jiwa kita bergetar. Pasti kita akan yakin bahawa al - Quran itu mukjizat teragung. Dengan membaca dan menghayati al - Quran, kita dapat membentuk keperibadian muslim sejati serta mendapat ganjaran yang besar dari Allah. Siapa terlepas, sangatlah rugi.


4) Melakukan sembahyang malam

Kadang - kadang ini yang menjadi masalah buat diri kita. Sangatlah liat untuk bangun malam. Sayang nak tinggalkan katil yang lembut lagi melenakan. Namun Allah telah berfirman dalam Surah al Isra' ayat 79 yang bermaksud:

" Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu mala serta kerjakanlah sembahyang tahajjud padanya, sebagai tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkan kamu pada hari akhirat di tempat yang terpuji,"

Jadi, pilihlah yang mana satu. Antara katil yang empuk di dunia yang sementara atau tempat yang baik di akhirat yang kekal abadi. Tepuk dada tanya iman.


5) Sentiasa berzikir

Rasulullah pernah ditanya tentang amalan apakah yang paling disukai oleh Allah? Lalu Rasulullah menjawab: "Basahi lidahmu dengan Zikrullah". Jadikan Zikir amalan seharian anda. Cuba ubah angin pulak. Selalu mulut tak lepas dari lagu - lagu yang melalaikan, apa salahnya cuba berzikir pulak. Cubalah.


6) Bersedekah

Rajin - rajin hulurkan sumbangan. Tak nak banyak pun sikit jadilah. Mana tahu kot - kot yang sikit itu menjadi penyelamat kita di akhirat nanti. Jangan jadi Mr. atau Mrs. bakhil. Hakikatnya, semua rezeki itu datang dari Allah. Apa salahnya berkongsi.^^. Jangan lupa, kongsi ngan ana sekali...


7) Menghadiri majlis ilmu

Ganjaran berada di majlis ilmu terlalu besar di sisi Allah S.W.T. Daripada Abu Darda' r.a. berkata: Aku telah mendengar Nabi S.A.W bersabda: Barangsiapa yang menjalanu satu jalan ilmu bererti ia telah menjalani suatu jalan daripada jalan - jalan syurga. Sesungguhnya para malaikat menghamparkan sayapnya kerana redha bagi orang yang menuntut ilmu...," (Hadis riwayat Abu Daud). Jadi, jomlah habiskan masa datang ke majlis - majlis ilmu. Dari duduk melanggut kat kedai kopi, lepak - lepak, main dam haji yang sudah beribu kali naik haji, apa salahnya, duduk sebentar, menimba ilmu.


8) Zuriat yang soleh dan solehah

Salah satu yang amat diimpikan oleh ibu bapa. Dari Abu Hurairah r.a bahawa sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda: "Bila seorang hamba telah meninggal, segala amalnya terputus, kecuali tiga hal: amal jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis rimayat Bukhari). Jadi wahai ibu bapa, didiklah anak - anak dengan agama. Hujani mereka dengan ilmu agama. Sirami mereka dengan nilai - nilai agama. Buat anak - anak, korang jangan ingat, bila mak ayah dah tak ada, korang boleh syok - syok duduk melantak harta mereka. Doakan juga mereka di alam sana.


Jadi, apa tunggu lagi? Jom pakat labur. Pelaburan yang menguntungkan yang tidak mendatangkan kerugian^^... Ada lagi ke pelaburan macam ni kat dunia ni?

Thursday 15 March 2012

Amanah


Apa perasaan anda andai dilantik menjadi pemimpin bagi sesebuah kumpulan?

Bangga?

Bersyukur?

Rasa diri dihormati?

Seronok?

“Mestilah best kalau dilantik menjadi ketua. Kerja pun senang. Arah je orang bawahan.”


Yap, menjadi ketua semestinya seronok kerana ketua akan sentiasa menjadi perhatian ramai. Sentiasa dicari. Kata orang, orang pentinglah kononnya. Tiada kita, maka sesuatu majlis atau acara takkan dapat diteruskan. Mesti seronok. Kalau kita tidak dilantik sebagai ketua, pasti akan terbit satu bisikan di dasar hati. Pasti kita akan tanya pada diri sendiri. Apasal aku tak terpilih? Bukankah aku lebih layak daripada mereka? Betul tak?

Jangan lupa, sebaik sahaja kita dilantik menjadi ketua bagi sesuatu organisasi, kumpulan, persatuan, dan sebagainya, bermakna tanggungjawab kita akan bertambah. Amanah baru tergalas di bahu. Ketika itu, pelbagai pengorbanan yang dituntut. Masa dan tenaga menjadi taruhan. Segala kebajikan orang bawahan kita, perlu diberi perhatian. Segala masalah yang menimpa, perlu diambil berat. Segala kesalahan, perlu ditegur dan diperbaiki. Hoho, mudah ke?

Firman Allah S.W.T dalam surah Al Anfal ayat 27 yang bermaksud:

“Hai orang – orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat – amanat yang diamanahkan kepadamu sedang kamu mengetahui,”

Bagi ana, tanggungjawab sebagai pemimpin, sangat – sangatlah sukar. Selama ni, ana sering kritik tentang pemimpin yang berada di atas ana. Lebih – lebih lagi ketua dorm. Andai mereka arah itu, ini, maka siaplah. Haha. Tumbuh tanduk la ana. Tapi Allah anugerahkan satu pengajaran buat ana. Allah bagi ana sendiri yang rasa bagaimana menjadi seorang pemimpin. Sewaktu ana berada di Tingkatan 4, ahli – ahli dorm Ummi Zar melantik ana menjadi ketua dorm. Mula – mula memang rasa bangga. Fulamak, mana tak bangga, orang dah bagi kepercayaan pada ana. Dan paling penting, ana di kalangan orang yang penting. Mana – mana anak buah ada masalah, ana akan dijadikan tempat rujukan mereka. Rasa macam orang penting la pulak.


Ketika awal persekolahan, memang seronok jadi ketua dorm. Ana paling berkuasa (angkuhnya). Haha. Tapi serius ana cakap. Memang tertekan dan stress amat. Paling bermasalah, apabila nak masuk halaqah. Kewajipan para pelajar di sekolah ana, setiap kali pukul 11.20 malam, kami akan membuat halaqah dan membaca Surah Al – Mulk dalam dorm masing – masing secara serentak yang diketuai oleh banin dengan menggunakan mikrofon surau. Menjadi tanggungjawab ketua dorm untuk memastikan anak – anak buah berada dalam dorm ketika itu. Setiap malam, ana perlu pastikan anak – anak buah ana dalam dorm. Sangat susah, sebab mereka kaki jalan. Selalu merayap ke dorm lain. Bila tanya, mereka jawab, mereka baca kat dorm sebelah. Mula – mula ana memang percaya bulat – bulat tapi bila kerap kali hilang dalam halaqah, timbul curiga jugak. Orang yang sama pulak tu. Ana perasan, setiap kali halaqah bermula, orang yang sama akan hilang. Hilang sebelum halaqah bermula, muncul balik bila halaqah tamat. Bila ana siasat, sekali lepak bawah tangga da…  Ho, berani tipu ana.


Paling ana tak boleh lupa, dorm ana dipanggil sewaktu perhimpunan pagi oleh warden banat, Ustazah Maniah. Katanya, dorm paling kaya sebab tak tutup lampu ketika keluar ‘prep’. Sebenarnya, malam tu, Ustazah dah panggil ana sebab dia tengok dorm ana tak tutup lampu ketika keluar ‘prep’. Ana pun pelik sebab ana adalah orang yang kali terakhir keluar dan ana sudah pastikan semua lampu dan kipas telah ditutup. Ustazah bagi warning supaya jangan ulang lagi tapi denda still berjalan. Berdiri di hadapan ketika perhimpunan pagi dijalankan. Ana dah mula berasap. Malam tu, halaqah berjalan dengan agak lama. Soal siasat siapa yang tak tutup lampu. Semua tak mengaku. Atau hantu yang bukak semua lampu dan kipas tu tak?


Keesokkannya, satu dorm kena berdiri di hadapan. Paling syok, bila Ustazah panggil ketua dorm dan berdiri di hadapan lelaki. Sangat – sangat memalukan. Ana pandang semua anak – anak buah ana. Rasa macam nak belasah hidup – hidup. Sabar je la. Last sekali, kami semua kena denda kawad tutup lampu. Idea pelik dari Cikgu Nazir.

“Kawad tutup lampu, dari kanan, cepat jalan,”

Disebabkan hari itu adalah hari Selasa, hari kokurikulum, tak pasal – pasal kena kawad. Kawad tutup lampu. Siapa lagi yang jadi tukang bagi arahan kalau bukan ana. Ketua dorm. Aiseh. Kawad yang agak unik. Sebaik ana jerit berhenti, ahli dorm ana akan berhenti dan buat gaya orang tutup lampu. Lepas kawad, barulah diberi kelepasan untuk masuk kelas Dengan muka malunya, ana lah yang menjerit – jerit bagi arahan. Dengan bilangan ahli dorm ana, iaitu 24 orang, maka Cikgu Nazir bagi idea suruh buat 5 orang setiap kali kawad.. Ana pulak, dengan muka tebal, terpaksa tunggu sehingga anak – anak buah selesai kawad. Ujian…


Dua kali jugak ana dan ahli dorm ana kena tayang. Kali kedua kes bawak pinggan dewan makan masuk dalam dorm. Adik – adik ana yang gemar makan dalam dorm. So, diorang bawak la pinggan masuk dalam dorm. Hantar pulak, malas amat. Sengaja letak tepi tiang. Ustazah dah berapa kali sound suruh hantar pinggan tapi masih dengan kekerasan hati, tak nak hantar. Sebelum bercuti, ana yang hantar pinggan yang diorang kumpul sebab ana bimbang takut satu dorm pulak yang kena denda. Dah macam nak buat bangunan. Buat kenduri ke apa entah. Banyak. Patutlah pihak dewan makan selalu mengadu kat Ustazah yang pinggan selalu tak cukup. Adik – adik dari dorm ana buat khazanah kat dalam dorm rupanya. Berbuih ana suruh mereka hantar. Nak aje bagi lempang jarak jauh. Tapi bila fikir balik anak orang, sabar. Biarlah ana pinggan diorang kat dewan makan tiap – tiap hari.Cewah.

Sampailah suatu minggu, ana tak kutip sebab sibuk dengan tournament memanah dan taekwando. Sangat penat dan ana sendiri tidak sempat nak cover yang kat dorm. Hanya harap kepada penolong dorm. Satu hari, dalam minggu yang sama, dorm ana diseru untuk berada di hadapan. Ana terkesima. Mesti kes pinggan yang tersusun cantik di tepi tiang. Bila semua dah beratur di hadapan, Ustazah umum tentang kesalahan yang kami lakukan. Bawak pinggan masuk dalam dorm dan seperti biasa, ana dipanggil dan berdiri di hadapan banin. Masa tu, rasa nak cincang je adik – adik dorm ana. Kemudian, ustazah suruh ana ambil pinggan – pinggan yang adik – adik kesayangan ana buat ‘hiasan’ tepi tiang, dekat dengan dorm. Dalam perjalanan untuk sampai kat dorm, ana fikir, apalah dosa ana sehingga adik – adik ana buat macam ni pada ana. Bukan ana tak bagi nasihat. Bukan ana tak tegur mereka. Sudah beberapa kali ana tegur, ana bagi nasihat, bagi amaran. Ya Allah bantulah ana.


Dalam perjalanan, ana kena serangan hebat daripada banin. Perhimpunan sudah bersurai barangkali. Apalagi, kena ejeklah. Macam – macam ana dengar.

“Ketua dorm tak boleh pakai,”

“Ketua dorm tak guna,”

“Nama je ketua dorm,”

Hati ana luluh. Terasa bagai dihiris sembilu. Cewah, ayat dramatis sungguh. Tapi serius, sampai je kat dataran perhimpunan, mata tiba – tiba berair. Kena ejek, dah satu masalah. Tambahan pula, bila lihat semua ahli dorm ana duduk bertinggung di dataran perhimpunan. Diberi pelbagai nasihat dan amaran oleh Ustazah. Kasihan melihat sahabat – sahabat ana yang terpaksa duduk bertinggung di hadapan khayalak ramai sedangkan mereka tak bersalah. Pilu melihat adik – adik ana yang tak bersalah yang terpaksa didenda sekali.


Tiba – tiba guru kaunseling, Cikgu Rusiati datang dekat dengan ana.

“Kenapa awak nangis,”

Bila ana diam, dia tanya lagi. Tak cukup dengan tu, dia peluk ana. Lagilah air mata ana mencurah laju. Haha. Malu pun ada. Cengeng betul ana ni. Yap, ana nangis sebab sahabat – sahabat dan adik – adik ana yang tak bersalah turut didenda. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Ana nangis sebab ana sedih tak dapat jadi ketua dorm dengan sebaiknya. Ana sedih sebab adik – adik ana sanggup buat ana macam ni. Selepas beberapa minit, kami dikehendaki beratur, dan dikendaki buat keretapi pinggan. Pegang pinggan secara bergilir – gilir sampailah kat dewan makan. Ana duduk depan, jalan dengan ustazah. Tak kena pegang pinggan pun. Anak – anak buah ana yang kena buat. Sambil jalan, ustazah bagi nasihat, dan maklumat berguna pada ana. Bagaimana nak kawal anak – anak buah ana yang sememangnya terdiri daripada mereka yang mempunyai rekod disiplin yang agak ‘cantik’. Terubat jugak hati ana yang sedang luka. Cewah.


Sampai kat dewan makan, ramai – ramai hantar pinggan dan mintak maaf dengan kak dewan makan. Kemudian, ustazah bagi nasihat. Yang paling touching,

“Cuba awak pandang muka ketua dorm awak,” ujar Ustazah. Semua pandang ana. Hoho, macam artis.

“Kesian dia. Nangis. Sebab apa? Sebab tingkah laku awak. Saya selalu dengar aduan dari dia. Bagaimana tingkah laku awak, perangai awak. Dan saya tengok macam – macam dia cuba buat untuk dorm. Awak tak kesian ke?,”

Cewah, terharu sangat. Terima kasih ustazah. Kalau ana cakap, budak – budak bukan nak ikut. Lepas je bagi nasihat, ramai – ramai datang kat ana dan minta maaf pada ana. Sejuk jugak hati. Baru ingat malam ni nak lancar perang dunia. Nampaknya tak jadi ni. Sedangkan Rasulullah S.A.W memaafkan umatnya, inikan pula ana yang hina ni. Sejak daripada tu, ana jadi malas nak pergi sekolah. Time balik kampung adalah saat paling bahagia sebab ana terlepas tanggungjawab sebagai ketua dorm buat sementara waktu. Tapi, bila time nak balik sekolah, ana jadi malas. Rasa macam berat nak pergi sekolah. Tanda tanggungjawab ana sebagai ketua dorm sudah bermula. Tengok asrama, aiseh. Bagai ada beban yang menanti. Habis tingkatan 4, ana jadi lega, bahagia, cewah. Mana taknya, tanggungjawab ana sebagai ketua dorm sudah lepas.

Dengan pelbagai dugaan dan cabaran yang menimpa ana, ana dapat belajar pelbagai perkara. Sungguh, pengalaman banyak mematangkan ana. Paling penting, ana ada pengalaman kawad tutup lampu, dan kereta api pinggan. Haha. Alhamdulillah, ana dah buat yang terbaik sebagai ketua dorm. Moga Allah terima segala apa yang ana lakukan.

Apapun, andai sesuatu amanah terpikul di bahu kita, jalankan amanah itu sebaiknya. Laksanakan sehabis daya. Jadilah seorang pemimpin yang bertanggungjawab melaksanakan tugas sebaik mungkin berpandukan ajaran Islam. Insya Allah, bakal melahirkan satu organisasi yang hebat dan mantap. Nak jadi pemimpin lagi tak? Soalan cepumas. Mulanya, ana sudah serik. Tapi bila muhasabah balik, menjadi pemimpin banyak mengajar kita untuk menjadi lebih sensitif, mengambil berat dan bertanggungjawab. Ha, amacam? Nak jadi pemimpin? Usah takut dan usah gentar. Dibenci, dikutuk, dihina itu sudah menjadi asam garam sebagai seorang pemimpin. Di negara kita, kita masih memerlukan pemimpin Islam untuk mentadbir negara. Jika bukan kita, siapa lagi???

Daripada Thauban, iaitu khadam kepada Rasulullah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya perkara yang aku takuti ke atas umatku ialah para pemimpin yang sesat."
( Riwayat Abu Daud dan al - Tirmizi ).

Tuesday 13 March 2012

Pengajaran dari Allah


Kun fayakun… Itu sahaja yang ana dapat ungkap sebaik sahaja ana mengalami satu peristiwa yang ana tak dapat lupakan. Mungkin sampai bila – bila. Nak kata peristiwa kelakar, tak jugak tapi boleh ana katakan peristiwa yang mengingatkan ana tentang kuasa Allah. Apabila Allah kata jadi, maka jadilah. Peristiwa yang berlaku ketika ana sedang belajar kereta di salah sebuah sekolah memandu. Alkisah bermula di mana ana belajar parking. Time tu, ana dah boleh dikategorikan sebagai memandu dengan lancar. Cewah. Pok Him (nama glamour cikgu memandu ana) puji ana sebab boleh memandu. Apa la. Setakat jalan straight boleh la. Cuba kalau naik bukit. Haru turun balik. Lepas Pok Him ajar parking, dia terus tinggalkan ana dan ajar sahabat ana pulak. Alhamdulillah, ana dapat kuasai dengan baik. Lepas beberapa kali try, Alhamdulillah, ana jadi terror bahagian parking. Cewah. Perasan betul.


Lepas belajar parking, Pok Him ajar pulak naik bukit. Time naik bukit, Pok Him dah garu kepala. Mana taknya, tekan minyak bagai nak main drift. Aduh… lepas dia ajar, dia suruh ana main parking. Ana apa lagi. Syok la bawak kereta. Pok Him ajar sahabat ana pulak. Pok Him tak ada, lagi la seronok. Bawak kereta macam orang yang dah mahir bawak. Sampailah satu peristiwa yang berlaku dalam hidup ana. Tragedi? Tragik? Tak tahu la nak bagi kategori mana.


Bila ana nak masuk parking, semua dah cukup cantik. Okey je semua. Tak ada langgar tiang, dan menepati semua syarat – syarat. Last sekali, bila time nak keluar, ana tertekan minyak. Kereta straight tanpa sempat ana nak putar stereng. Apa lagi, terus langgar divider. Ana pun tak tahu apa namanya. Pok Him kata divider, dividerlah ana panggil. Bukan ana langgar je, tapi ana naik pulak atas divider tu. Bukan satu divider ana langgar tapi tiga. Apa lagi histeria ana dalam kereta. Nak tekan brek tapi kereta masih laju melanggar divider. Tiba – tiba kereta berhenti dan enjin mati. Kereta betul – betul mendarat dengan tayar depan berada di atas divider manakala tayar belakang berada di atas jalan. Sangat – sangatlah menakutkan. Bila kereta berhenti, ana fikir balik. Apasal la brek tak berfungsi. Rupanya kaki ana berada di bawah brek. Bukan atas brek. Sebab itulah, kereta tak nak berhenti. Ana dah tak tahu nak buat apa, ana turun dari kereta dan menyorok di sebalik kereta. Gelak sorang – sorang. Sangat – sangatlah malu.


Tiba – tiba Pok Him datang dari belakang. “Ana okey tak?,”. Risau gamaknya bila melihat ana duduk atas jalan sambil tutup muka. Pok Him ingat ana nangis kot. Ana tengah gelak la Pok Him. Bila ana mengangguk, dia masuk kereta, lalu turunkan kereta ana yang mendarat cantik atas divider.


“Pok Him, saya minta maaf. Hancur kereta Pok Him saya buat. Minta maaf Pok Him.” Ana segera meminta maaf kepada Pok Him sebaik beliau keluar dari kereta.


Pok Him dengan selamba berkata. “Ah, tak ada apanya. Awak tak cedera tu kira okey dah tu. Tenang dulu, lepas tu, sambung balik naik kereta,” ujar Pok Him dengan senyuman. Aik? Tak marah? Nak suruh naik Lagi? Kang terbabas lagi kang.


Ana masuk kereta balik dan beristighfar. Tangan dan terketar – ketar. Tak boleh nak pegang stereng. Wah, pengalaman yang dahsyat. Ana tak tahu nak buat macam mana nak hilangkan gementar. Nak telefon mak ana, mak ana tengah dalam perjalanan hantar adik ana ke sekolah kat Besut. Takkan nak ganggu kot. Ana telefon sahabat ana. Apa lagi, gelak sakan la dia. Apa punya kawan da. Tapi at least ana rasa lega sikit. Tiba – tiba Pok Him masuk dalam kereta ana.


“Kenapa tak gerak lagi? Jalan je la. Jangan takut. Perkara biasa,” ujar Pok Him dengan gaya selamba. Perkara biasa apa pulak Pok Him, ana dalam kereta tadi, dah macam orang kena histeria. Semua orang pandang ana. Malu kot.


“Sebab tu la Pok Him letak divider. Nak suruh orang macam awak langgar. Nama pun belajar. Langgar - langgar tu perkara biasalah.” ujar Pok Him lagi bila lihat ana masih tak hidupkan enjin kereta. Ana apa lagi, jalan la. Tapi time ni, bawak kereta dah macam bawak kereta sorong. Slow yang amat. Dah tak ada dah istilah drift. Trauma kot. Haha. Selepas satu round bawak kereta, Pok Him turun dari kereta, dan suruh ana bawak pulak. Time ni, masuk parking. Aiseh. Tension. Tapi Alhamdulillah, ana boleh kuasai parking dengan baik dan naik bukit sahaja lagi tinggal. Walaupun trauma masih ada, kena hadapi jugak.

Balik rumah, terus migrain menyerang. Haha. Sakit amat. Bila cerita pada mak ana, mak ana beristighfar. Ayah ana dah geleng kepala. Kakak ana? Gelak ada la. Dia kata tak pernah buat dek orang. Apapun ana tak ambil kisah sangat. Tapi bila fikir balik, Alhamdulillah Allah bagi ana hidup lagi. Kalau ditakdirkan ana kemalangan waktu tu, Masya Allah. Tak tahu nak cakap. Waktu peristiwa tu berlaku pun ana dah terbayang hospital. Allah nak bagi pengajaran buat ana, walau kita dah hebat setara mana pun, usah mendabik dada. Kalau dilihat, macam ana boleh tak perasan ana tertekan minyak, dan macam mana kereta boleh berhenti dengan sendirinya. Kun fayakun. Semua itu di bawah kuasa Allah dan ana bersyukur, dapat bernafas hingga ke hari ini. Apapun, jadi seperti padi. Semakin berisi semakin menunduk. Bukan macam ana. Syok sendiri bila dah pandai. Padahal baru masuk parking je kot. Haha.


 Dari sini dapat lihat divider yang berwarna hitam putih. Kalau kira, ada tiga divider yang nampak. Dan divider yang terakhir, itulah tempat kereta ana mendarat..



Pandangan sisi. Tempat kenangan di mana kereta ana mendarat. Tayar depan mendarat betul - betul atas divider. Tayar belakang, atas jalan. Hebat tak?


Sunday 4 March 2012

Cerpen: Aisyah Humaira'


Aisyah memandang sekeliling. Hanya ada susunan kemas katil - katil dan almari - almari yang tersusun rapi. Sunyi. Fikirannya kusut. Segera dia menyandarkan tubuhnya di palang katil. Kotak rokok segera dikeluarkan. Sebatang rokok diletakkan dibibirnya lantas dinyalakan api. Asap mula keluar dari mulut dan hidungnya. Tabiatnya sejak dahulu. Jika fikirannya kusut, pasti rokok yang dicari.

"Assalamualaikum," satu suara mengganggu lamunannya. Tidak dijawab malah leka dengan rokok yang sedang dihisapnya.

"Awak pelajar baru ya? Saya Tuan Aisyah. Panggil sahaja Kak Ya. Awak?," tegur seorang gadis berjilbab labuh dan lengkap berpakaian sekolah berdiri di sebelahnya. Entah bila munculnya dia sendiri tidak tahu.
Aisyah tidak menjawab. Dia menjeling gadis yang dikenali sebagai Kak Ya itu lalu tersenyum sinis. "Kau tak sekolah ke? Bukan sekarang waktu sekolah ke?," tanya Aisyah. Suaranya mendatar.

"Saya  lebih suka andai awak beritahu nama. Lebih mudah untuk kita berdua berkomunikasi," ujar Tuan Aisyah tenang.

Aisyah menjeling ke arah Tuan Aisyah. Hatinya semakin panas. " Hei, kau boleh tak blah dari sini? Aku tengah serabut ni tahu tak? Dan kau jangan nak menyibuk, jangan nak buat semak kat sini. Baik kau blah dari sini sebelum aku naik angin,"

"Saya  berada di sini kerana awak tanggungjawab saya. Saya kena pastikan dahulu awak selesa dan semua kelengkapan cukup," ujar Tuan Aisyah lembut. Bibirnya tidak putus dengan senyuman manis.

"Ha, sekarang, aku dah dapat katil, dorm, dan semua cukup. Nampaknya, dah tak ada apa dah. Kau boleh blah sekarang." ujar Aisyah lalu berdiri menghadap Tuan Aisyah sambil memeluk tubuh. Perlahan - lahan dia melepaskan asap rokok pada muka Tuan Aisyah.

Tuan Aisyah menahan nafas. Resdung yang dialaminya membuatkan dia alah dengan asap. Segera dia menahan nafas."Perlu awak ketahui bahawa dalam peraturan sekolah, awak tidak dibenarkan merokok. Satu lagi, andai waktu sebegini, semua pelajar perlu berada di blok akademik dan tidak dibenarkan berada di kawasan asrama. Jadi, awak perlu turun ke blok akademik. Lagipun, saya hendak tunjukkan kelas yang awak akan duduk. Marilah." Tuan Aisyah memujuk Aisyah. 

"Ada aku kisah? Sekarang aku nak, kau keluar dari sini." suara Aisyah mula memetir. Tuan Aisyah tergamam. "Keluar," Aisyah menolak tubuh Tuan Aisyah.

"Assalamualaikum," satu suara dari arah muka pintu kedengaran. Tuan Aisyah dan Aisyah berpaling ke arah suara itu. Seorang wanita dalam lingkungan 40 an berdiri di hadapan muka pintu.

"Ustazah Rohana," Tuan Aisyah segera menunduk. Ustazah Rohana adalah warden di sekolah itu dan sangat terkenal dengan ketegasannya.

"Tuan Aisyah, ada apa ni? Dari tadi saya dengar terjerit - jerit. Ada apa?," tanya Ustazah Rohana. Matanya bulat memandang kedua - dua pelajar itu.

"Maafkan saya ustazah," Tuan Aisyah mula bersuara. Aisyah memandang tajam ke arah Tuan Aisyah.

"Kenapa saya bau rokok?," tanya Ustazah Rohana pelik. Jantung Tuan Aisyah berdegup kencang. Segera dia memandang ke arah Aisyah. Aisyah tanpa rasa bersalah masih menghembuskan asap rokok bagi menunjukkan bahawa dialah yang merokok.

"Kamu pelajar baru,bukan? Sila ikut ke pejabat saya. Sekarang!," tegas sahaja suara Ustazah Rohana lantas berlalu pergi.

"Orait. No problem." ujar Aisyah lalu dihisap rokok yang berada di tangannya.

Tuan Aisyah memandang wajah Aisyah. Aisyah memandang sinis wajah Tuan Aisyah. "Apa pandang - pandang? Ada hutang?" tanya Aisyah lantas berlalu pergi. Sebaik sahaja melepasi Tuan Aisyah, Aisyah terdengar sesuatu.

''Moga Allah bersama awak,"

Aisyah memandang Tuan Aisyah. Dilihat gadis itu tertunduk. Air matanya mengalir perlahan. Hatinya bergetar. 'Ah pedulikan'. "Woi, satu sahaja aku nak bagitahu kau. Aku tak perlukan simpati kau," Aisyah menjerit sambil menyarung sandal.

Di tengah - tengah kamar itu, Tuan Aisyah terduduk. Ya Rabb, selamatkan sahabatku itu.

***

Aisyah memandang jauh ke padang. Mencari ketenangan yang didambakan hati. Rokok yang berada di tangannya dihisap penuh nikmat. Berharap ketenangan berkunjung singgah di sanubarinya. 'Kenapa mama dan papa buat Syah macam ni? Ini bukan dunia Syah. Syah tak nak sekolah kat sini.' Dia membayangkan suasana bersama rakan - rakanya sebelum dia masuk ke sekolah itu. Hari - hari yang berlalu, penuh keseronokkan. Dia rindukan waktu ketika bersama - sama rakan menyaksikan lumba haram. Dia rindukan saat ketika dia menghabiskan waktu malamnya bersama rakan - rakan. Dia rindukan saat ketika dia keluar bersiar - siar dengan rakan - rakan.

"Ini bukan dunia aku.” Aisyah menjerit kuat. Dia tidak kisah untuk menjerit kerana dia yakin pelajar – pelajar lain tidak akan dengar jeritannya.Kedudukan menara tangki air empat tingkat yang sedang diduduki itu terletak agak jauh dari kawasan asrama.

Dari puncak menara tangki air itu, sepasang mata sedang memerhatikan  Aisyah. Fatimatuzzahrak. Sejak tadi dia leka  memerhatikan Aisyah. Terdetik di hatinya untuk mendekati Aisyah.

“Pihak sekolah dah bersepakat dengan Lembaga Disiplin dan membuat keputusan memberi peluang kepada Aisyah untuk berubah selama dua bulan. Saya  pohon, kita bersama - sama membantu Aisyah. Membantu Aisyah, merubah dirinya. Saya tahu kamu semua tidak berpuas hati dengan sikap Aisyah. Panas baran, biadab, suka melawan dan sebagainya. Sepanjang dua bulan dia berada di sini, pelbagai masalah yang timbul. Kerana dia, ramai cikgu benci kita. Kerana dia, nama baik kita jatuh sama sekali. Kerana dia, adik – adik hilang hormat terhadap kita. Saya tahu kamu sakit hati dengan Aisyah. Tapi, untuk kali ini, saya rayu, kita bagi peluang kepada Aisyah. Buka hati kamu semua untuk menerima Aisyah. Aisyah adalah seangkatan dengan kita. Andai kita tidak bantu dia, siapa lagi yang mahu membantu? Sekarang, Allah sedang menguji kita dengan kehadiran Aisyah. Kamu semua tahu tak, di luar sana, ada ramai lagi berperangai seperti Aisyah malahan lebih teruk pun ada.Allah anugerahkan Aisyah kepada kita semua agar kita  lebih bersedia untuk terjun ke medan masyarakat bagi memimpin mereka untuk mendekati Islam. Bukankah itu impian kamu? Membawa masyarakat ke jalan yang diredhai Allah?”

Kata – kata Tuan Aisyah ketika perjumpaan semalam masih tengiang – ngiang di telinga Fatimatuzzahrak. ‘Ya. Aku akan bantu kau, sahabatku’. Hati Fatimatuzzahrak menjerit. Segera dia turun dari puncak menara tangki air  ke tingkat dua, di mana Aisyah berada ketika itu.

"Assalamualaikum," Fatimatuzzahrak memberi salam lantas duduk di sebelah Aisyah. Rokok yang berada di tangan Aisyah, segera di ambil lalu dicampakkan ke bawah.

“Kau buat apa ni?,” Aisyah membentak. Salam daripada Fatimatuzzahrak dibiarkan sepi. Hatinya panas. Itu adalah rokok terakhir yang berada dalam simpanannya. Sebelum ini tiada seorang pun yang pernah buat perkara seperti Fatimatuzzahrak lakukan. Perempuan ni dah melampau! Dia belum pernah kenal siapa Syah.

“Rokok haram. Allah tidak suka orang yang mencampakkan diri mereka ke dalam kerosakkan,” Fatimatuzzahrak berbicara tenang.

“Ada aku kisah? Badan aku. Bukan badan kau.” Aisyah membalas.

“Tetapi kau kena ingat, asap rokok kau tu telah menyebabkan orang lain menderita. Kalau kau nak tahu, gara – gara asap rokok yang kau sedut inilah resdung Kak Ya kembali teruk. Berapa hari dia tak boleh fokus dalam kelas gara- gara resdung dan ini semua berpunca daripada asap rokok yang kau hisap.” Ujar Fatimatuzzahrak. Dia tahu bahawa Tuan Aisyah sememangnya mempunyai penyakit resdung yang kronik dan Tuan Aisyah  sangat alah terhadap asap, makanan laut serta debu. Andai dia terdedah, resdungnya akan menyerang dan menyebabkan jadual harian Tuan Aisyah terganggu.

Aisyah terdiam. Suasana sepi seketika.

“Kau ada masalah ke?,” Tanya Fatimatuzzahrak. Memecah kesunyian.

“Kalau aku cerita pun, kau takkan faham.” Ujar Aisyah sinis.

“Kau belum cerita. Bagaimana aku nak faham,” Fatimatuzzahrak membalas.

Aisyah terdiam. Suasana sepi seketika. Fatimatuzzahrak masih setia menunggu luahan hati daripada Aisyah.

“Aku tak suka sekolah ini. Ini bukan dunia aku. Itu tak boleh, ini tak boleh. Apa ni? Aku tak faham la.” Aisyah meluahkan apa yang terpendam dengan nada yang agak kasar. Dia masih teringat peristiwa ketika mula – mula dia masuk ke sekolah itu. Pelbagai barangan kegemarannya dirampas. Majalah, seluar pendek, gelang, mp3, telefon bimbit dan rokok. Dan rokok yang baru dihisapnya tadi pun adalah stok yang masih dia sempat sorokkan.

“Bukan dunia kau?,” Fatimatuzzahrak bertanya sinis. “Maksud kau, dunia kau yang tak boleh terima segala peraturan sekolah ini? Macam tu?,”

“Ya lah. Kena ikut usrah. Kena dengar ceramah. Bangun tengah malam, sembahyang. Apa ni? Dunia aku, bukan macam tu. Dan aku bukan golongan macam korang. Alim.,” Aisyah cuba mempertahankan pendapatnya.

“Kami bukan alim. Kami adalah hamba. Hamba kepada Pencipta iaitu Allah. Dan kau pun sama. Kau juga adalah seorang hamba kepada Pencipta. Allah telah berfirman dalam surah Az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud ‘Tidak sesekali aku menciptakan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah’. Kami berusrah bersama – sama, kami mendengar ceramah, dan bangun malam adalah kerana kami yakin bahawa hidup ini adalah pengabdian kepada Allah.” Fatimatuzzahrak menerangkan dengan panjang lebar.

Aisyah terdiam. Hatinya sedikit terusik.

“Aku tahu, kau terseksa gara – gara cara hidup kau yang dahulu dan sekarang jauh berbeza. Kau lebih suka dengan cara hidup kau yang dahulu berbanding cara hidup kau sekarang. Aku faham. Aku teringat satu firman Allah dalam Surah Al – Baqarah ayat 216 yang bermaksud, 'boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu adalah yang baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.' Mungkin sekarang kau tak rasa kelebihan dengan gaya hidup kami tetapi suatu hari nanti, kau akan rasa kelebihan itu sendiri. Percayalah.” Ujar Fatimatuzzahrak sambil mengenyitkan matanya kepada Aisyah.  Aisyah diam membisu..

“Fatimah, kome buat apa kat ataih tu. Kome janji nak ajar teman add math. Teman dah lama tunggu,” satu suara dari bawah memecah kesunyian di antara mereka. Fatimatuzzahrak memandang ke bawah. Dilihat Mahfuzah, anak kelahiran Perak itu sedang memeluk tubuh sambil memandang ke arah Fatimatuzzahrak.

“Sorry Fuzah. Aku lupa. Kejap, aku turun sekarang.” Fatimatuzzahrak menuruni tangga. Hanya beberapa anak tangga, Fatimatuzzahrak berhenti lalu memandang ke wajah Aisyah.

“Allah pernah berfirman, ‘ketahuilah bahawa dengan mengingati Aku nescaya hatimu akan menjadi tenang’. Allah tidak pernah mungkir janji tau.” Ujar Fatimatuzzahrak lantas menghadiahkan senyuman kepada Aisyah.

Aisyah terkesima. Hatinya diburu pelbagai rasa dan dia sendiri tidak mampu menterjemahkan apa yang dia rasa.

***

"Ini semua kau punya pasal la ni. Kalau tak kerana kau, aku takkan buat kerja macam ni," kasar sahaja suara Aisyah melaungkan amarahnya terhadap Amira dari tandas pertama. Dia memberus lantai di tandas pertama dengan perasaan marah. Penat. Bilik air asrama di sekolah itu cukup besar di mana tandas itu dilengkapi dengan tempat membasuh, empat bilik mandi, lapan sinki, tempat berwudhuk dan dua belas bilik air. Hatinya sakit sebaik sahaja dijatuhkan hukuman mencuci bilik air  asrama. Semua gara - gara Amira yang cari pasal dengannya. Aisyah terbayang saat Amira terlanggar bahunya. Sebenarnya salah dirinya yang berjalan tanpa melihat ke hadapan. Hampir sahaja tumbukannya mengenai muka Amira. Namun, gadis itu pantas mengelak. Malang nasibnya, ketika itu, guru disiplin sedang melalui kawasan itu.

"Okey, aku minta maaf. Aku yang salah." kata - kata Amira itu mematikan lamunannya. Segera dia keluar dari tandas pertama. Dilihat Amira sedang memberus lantai tempat berwudhuk. Amira memandang wajah Aisyah lantas tersenyum.

"Apa senyum - senyum? Kau suka la kan tengok aku kena denda macam ni? Suka la dapat kenakan aku?" ujar Aisyah sambil matanya memandang wajah Amira.

"Kau ingat kau seorang sahaja yang kena cuci tandas?  Aku tak kena?," ujar Amira. Senyumannya masih tak lekang dibibirnya. Tangannya masih ligat memberus lantai. Dia harus cepat menyiapkan dendanya itu kerana bimbang mengganggu jadual hariannya. Sepatutnya ketika ini, waktu untuk dirinya menyiapkan kerja sekolah setelah menunaikan solat Asar. Malangnya, dia dipanggil oleh warden dan dijatuhkan denda kerana bergaduh dengan Aisyah.

"Habis yang kau senyum - senyum tu kenapa? Bukan tujuan kau nak menyindir aku?," Hati Aisyah semakin membara melihat senyuman Aisyah. Seolah - olah meraikan kemenangan setelah mengenakan dirinya.

"Aku senyum, sebab kau sama seperti aku masa mula - mula masuk sini. Apa budak - bidak sini cop kau? Singa betina?," Amira cuba menyakat.

"Kau agak - agak la." Aisyah memercikkan air ke arah Amira dengan menggunakan berus lantai yang ada di tangannya.

"Hoi, agak - agak la. Kau berus jamban guna berus tu. Lepas tu kau main macam tu pulak. Habis muka aku. Kotor la. Kang berjerawat naya je," Amira meninggikan suara sedikit. Segera dia membasuh muka.

"Kau cakap kau panas baran? Tipulah," ujar Aisyah. Hatinya diburu pelik. Jika dilihat, Amira bukanlah seorang yang  panas baran tetapi seorang yang ceria. Lebih – lebih lagi, apabila bersama teman – temannya. Dia pernah melihat kehidupan Amira. Cukup mesra dengan teman - teman yang lain termasuk semua pekerja tukang sapu dan tukang masak. Sangat ramah dan mereka bagaikan satu keluarga. Mustahil dia seorang yang panas baran.

"Aku pun sama macam kau jugak. Panas baran, biadab. Lebih - lebih lagi aku ni sejak dari sekolah rendah lagi perangai macam lelaki. Bab gaduh, tak usah cakap la. Mak aku dah berpuluh kali turun naik tangga sekolah rendah aku pasal gaduh. Tambahan pulak aku ni pengawas, lagi la best aku buli orang. Bila cikgu tanya kenapa belasah? Aku jawablah yang budak tu mencuri ke, lawan aku ke, apa - apa la. Asal boleh menyelamatkan aku. Baik lelaki mahupun perempuan, semua aku bantai. Ketika aku masuk sekolah ini pun sama. Kejutan budaya, kot. Kalau dulu, aku boleh buat apa yang aku nak. Tiba – tiba, masuk sini, semua tak boleh. Itu tak boleh. Ini tak boleh. Kadang – kadang aku sendiri naik bosan. Tapi semua tu, cerita dulu. Sekarang, aku Amira yang baru. Bukan Amir yang penuh dengan kekasaran." ujar Amira sambil tangannya mencurahkan air yang berada dalam baldi ke lantai.

"Habis, macam mana kau jadi macam sekarang?," Aisyah bertanya.

Amira terpaku. Ya Rabb, dia masih punya keinginan untuk berubah. Amira senyum. "Pertama sekali, hati," ujar Amira sambil memandang muka Aisyah. Aisyah mengerutkan dahinya tanda tidak faham.

"Okey, kau bayangkan baldi ini hati." Amira menunjukkan baldi yang berada di tangannya. Kemudian dia telangkupkan baldi itu. "Okey, baldi ni ibarat hati yang ditutup." Kemudian Amira memulas kepala paip yang terdapat di tempat wudhuk itu. Air yang keluar, melimpah ke atas baldi lalu jatuh ke lantai. Amira memulas kembali dan memandang semula ke arah Aisyah yang masih terpinga - pinga.

"Kau tengok, air ni keluar bukan? Samalah macam hati. Andai kita tutup hati kita, semua teguran, semua nasihat, semua peringatan, takkan masuk ke dalam hati kita. Takkan masuk ke dalam jiwa kita." Amira terbalikkan kedudukan baldi. Kemudian dia memulas kembali kepala paip. Air yang keluar, masuk ke dalam baldi dan ketika air hampir penuh, Amira memulas kepala paip. Air berhenti keluar.

" Dan sekarang, baldi ni ibarat hati yang terbuka. Hati yang lapang. Dapat menerima segala teguran, nasihat, dan peringatan." ujar Amira sambil tersenyum memandang Aisyah. Aisyah terpana.

"Hai kawan, banyak lagi?," satu suara muncul di belakang Amira. Amira dan Aisyah berpaling ke arah suara itu. Kamilah muncul disebalik pintu.

"Banyak lagi la beb. Kalau korang nak mandi, korang pergi la bilik air lain. Banyak lagi tak cuci. Sorry." ujar Amira apabila melihat Mazrina, Syakirah, Kamilah, Hidayah dan Munira masuk ke bilik mandi itu dengan membawa tuala serta bakul mandi. Barangkali sudah pukul enam. Kebiasaan pelajar di situ, akan mandi dalam waktu sebegini kerana selepas ini, mereka akan bersiap untuk makan malam.

"Ah, tak apa. Kita basuh sama - sama. Lagipun dah lewat ni. Sekejap lagi, waktu makan." ujar Mazrina lantas meletakkan bakul mandinya di sinki diikuti yang lain.

"Eh, tak apa. Korang pergi mandi, biar kami yang basuh. Lagipun memang salah aku. Panas baran sangat." ujar Amira cuba menahan Hidayah yang cuba mengambil berus lantai daripada tangannya.

"Tahu pun. Satu pengajaran buat kau. Lain kali, kawal nafsu marah tu sikit." Hidayah menyindir lantas dirampas berus lantai dari tangan Amira.

"Lagipun, mana mungkin kami nak makan dengan tenang kalau korang berdua sibuk sental lantai. Lapar sama - sama la beb." ujar Munira dari bilik air yang paling hujung.

"Apa yang penting?," Syakirah menjerit seronok sambil memegang paip getah. 

"Kerjasama" Kamilah, Munira, Syakirah, Hidayah dan Mazrina menjerit riang sambil tangan mereka ligat melakukan kerja - kerja membersihkan tandas. Amira menggelengkan kepala. Aisyah terpaku.

"Hai, tak tunggu kami?," Kedengaran suara lain muncul. Hayati.

"Nak join boleh?" Izzatie pula muncul.

"Apasal tak cakap dari awal?" Atiqah pula masuk.

“Buat amal tak ajak kami?” Azyan yang muncul di belakang Atiqah pula bertanya.

Dilihat ramai pelajar perempuan masuk ke dalam bilik mandi itu. Yang pasti, semua itu adalah teman seangkatan dengannya. Seorang demi seorang masuk, meletakkan bakul mandi, dan membantu teman - teman yang lain mencuci tandas. Hati Aisyah bagai disirami satu perasaan aneh namun tidak dapat dicari apakah perasaan itu. Tidak dapat diceritakan bagaimana perasaan itu.

“Jangan lupa, ego juga perlu dibuang.” bisik Amira sambil mengenyitkan mata.

***

Aisyah merebahkan badannya di atas katil. Kepalanya pusing. Badannya dirasakan amat letih. Hampir sahaja dia mahu melelapkan mata, Ain mendekati katilnya.

“Kau tak sihat ke?,” Ain bertanya dengan nada bimbang.

“Tak ada apalah. Aku okey. Aku cuma penat sikit.” Ujar Aisyah acuh tak acuh. Dia malas mahu berbicara panjang. Kepalanya pening dan dia mahu tidur.

“Kenapa muka kau merah?,” Tanya Ain bimbang lantas meletakkan belakang tangannya di atas dahi Aisyah.

“Panas. Kau demam ya?,”

Aisyah menepis tangan Ain. “Aku demam ke, aku nak mati ke, ada aku kisah?. Kau blah boleh tak?. Aku nak tidur.” Ujar Aisyah kasar. Sebaik melihat Ain berlalu pergi, perlahan - lahan dia memejamkan mata. Berharap dengan cara itu, peningnya akan hilang.


“Aisyah, bangun.” Satu suara sayup kedengaran di telinganya. Dia membuka mata – mata perlahan – lahan. Silauan lampu kalimantan menyukarkan untuk dirinya membuka mata. Aisyah memandang sekeliling. Dilihat dua orang perempuan setia duduk di sebelahnya. Seorang memegang pinggan, dan seorang lagi mengelap tangannya dengan tuala basah.

“Aisyah, bangun. Makan sikit. Kau dari tadi tidak makan,” ujar Hasfaiza sambil membantu mendudukkan Aisyah apabila melihat Aisyah terkial – kial untuk duduk.

“Dah pukul berapa sekarang?,” Aisyah bertanya dengan suara yang serak. Tekaknya perit.

“Sekarang dah pukul 7.30. Kau tidur sejak petang tadi lagi. Sekarang, kau makan sikit, kemudian kau 
mandi, solat. Lepas Isya’ nanti, kita pergi klinik.” Ujar Iylia lembut.

“Aku tak ada selera la.” Ujar Aisyah sebaik melihat Hasfaiza menghulurkan pinggan.

“Jangan la macam tu. Penat Shahirah ambilkan makanan ni. Kalau kau tak ada selera, paling kurang, hargailah usaha Shahirah. Makan sikit, ya?” Iylia cuba memujuk lembut.

“Aku tak suruh pun. Yang korang sibuk apasal?,” Aisyah menyinga. Iylia menggelengkan kepala.

“Okey, kalau kau tak nak makan, kau pergi mandi, then kau solat.” Ujar Hasfaiza sambil meletakkan pinggan di atas meja belajar Aisyah.

“Yang kau sibuk – sibuk aturkan hidup aku apasal? Aku yang sakit. Bukan kau.” Aisyah membentak kasar.

“Sebab kau sahabat aku. Kalau kau sakit, aku pun rasa sakit. Aku dah tak sanggup tengok kau terbaring macam ni. Sekarang, aku nak, kau bangun, mandi, lepas tu solat.” Ujar Hasfaiza lantas menarik selimut Aisyah. Iylia menarik lembut tangan Aisyah agar Aisyah berdiri. Aisyah cuba menolak, namun badannya yang lemah menyebabkan dia hanya mampu menurut. Hanya mulutnya sahaja rancak memaki hamun Iylia dan Hasfaiza.



Aisyah membuka mata perlahan – lahan. Dia lihat, di sisinya, Maisara sedang tidur dalam keadaan duduk di sebelahnya. Kepala Maisara terlentok di sisinya dengan berbantalkan lengan. Selepas pulang dari klinik sebentar tadi, dia terus tidur. Dia bangun perlahan – lahan. Bimbang bakal mengejutkan Maisara. Kepalanya terasa lega sedikit. Baru sahaja dia mahu turun, Maisara sudah tersedar dari tidurnya.

“Syah, kau nak pergi tandas ke?,” Tanya Maisara sambil menggeliat kecil. Lenguh barangkali kerana tidur dalam keadaan duduk.

Aisyah mengangguk lemah. Maisara segera berdiri.

“Sini, aku bantu kau,” Maisara memegang tangan Aisyah. Ingin ditolak tangan itu, namun hatinya kuat mengatakan jangan. Entah mengapa.

Sebaik pulang dari tandas, mereka berdua bertembung dengan Azimah.

“Maisara, kau tidur la. Sekarang turn aku pulak jaga Syah.” Ujar Azimah lembut. Maisara memandang ke arah jam dinding. 3.00 pagi. Gilirannya untuk menjaga Aisyah telah tamat. Maisara hanya mengangguk lembut. Segera dia membantu mendudukkan Aisyah di atas katil.

“Moga cepat sembuh.” Ujar Maisara sambil mencuit pipi Aisyah kemudian berlalu pergi. Aisyah terkesima.

“Kau tidurlah. Kau perlukan rehat.” Ujar Azimah lembut lantas menyelimutkan Aisyah. Tiba – tiba Nadhirah muncul dari belakang Azimah, lalu mendekati Aisyah. Meletakkan belakang tapak tangan pada dahi Aisyah.

“Demam kau belum kebah. Tidur la dulu.” Ujar Nadhirah lembut.

“Pukul 4.00 nanti turn aku kan?,” Nadhirah bertanya kepada Azimah. Inginkan kepastian. Sudah menjadi kebiasaan kamar Sumayyah, andai terdapat salah seorang penghuni sakit, pasti mereka akan bergilir – gilir untuk menjaga. Setiap satu jam, pasti mereka akan bertukar giliran.

Azimah mengangguk lembut. “Kau tidur la dulu. Nanti, pukul 4.00, aku kejutkan kau.” Azimah membalas. Nadhirah mengangguk lembut lantas beredar ke muka pintu. Pergi bilik air barangkali. Aisyah menyambung tidurnya. Pening di kepala masih terasa.


Tekak Aisyah terasa perit. Dia membuka mata. Memandang ke arah tingkap. Gelap. Tanda waktu belum menghampiri pagi. Cuba untuk bangun. Namun, telinganya tertangkap satu suara.

“Ya Allah, sihatkanlah tubuh badan Aisyah Humaira’. Lapangkanlah dada Aisyah Humaira’. Permudahkanlah segala urusan Aisyah Humaira’. Berikanlah petunjuk kepada Aisyah Humaira’. Lembutkanlah jiwanya agar dia bisa menjadi hambaMu yang solehah. Berikanlah dia kekuatan untuk melawan segala anasir yang menjauhkan dirinya daripadaMu.”

Aisyah berpaling ke arah suara itu. Dia melihat satu lembaga berpakaian putih di sebelah katilnya. Nadhirah!. Aisyah lihat, Nadhirah sedang berdoa sambil bahu Nadhirah terhenjut – henjut. Nadhirah menangis?. Aisyah baring semula. 

Fikirannya bercelaru. Pelbagai soalan bermain di fikirannya. Kenapa mereka semua terlalu mengambil berat terhadap aku? Aku? Pernah mengambil berat masa mereka? Pernah aku berdoa untuk mereka? Doa? Hati Aisyah bergetar. Sudah lama dia tidak menjejakkan kaki di tikar sembahyang. Selama ini, dia sering mengelak andai teman – temannya mengajak untuk solat fardhu berjemaah. Ya Allah, aku terlalu jauh daripadaMu.

Aisyah bangun perlahan – lahan. Mendekati Nadhirah yang sedang leka berwirid.

“Nadhirah, maafkan aku.” Ujar Aisyah dengan suara yang serak sambil memegang tangan Nadhirah. Nadhirah memandang ke arah Aisyah.

“Eh, Syah. Kau okey? Kalau kau nak apa – apa, panggil aku. Kau belum sihat sepenuhnya.” Ujar Nadhirah lembut sambil tangannya memegang lengan Aisyah. Dia bangun dari sejadah untuk membantu Aisyah berdiri. Namun, Aisyah seolah – olah berkeras. Tidak mahu berdiri. Nadhirah memandang pelik ke wajah Aisyah. Air mata Aisyah mengalir deras. Nadhirah semakin takut. ‘Sakit sangatkah sehingga Aisyah menangis?’. Nadhirah duduk kembali.

“Syah, kau okey?,” Nadhirah bertanya. Bimbang.Kedua belah pipi Aisyah dipegang lembut.

“Nadhirah, terlalu banyak dosa yang aku lakukan. Aku banyak buat dosa dengan korang. Aku banyak buat dosa dengan semua cikgu. Aku banyak buat dosa dengan mak dan ayah aku. Aku banyak buat dosa dengan Allah. Aku lupa siapa yang menciptakan aku. Aku lupa dari mana asal aku. Banyak dosa aku, Nadhirah.” Aisyah meluahkan apa yang terpendam. Ego yang berada dalam dirinya selama ini, hancur sama sekali.

Nadhirah terpegun. Alhamdulillah. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Membolak – balikkan hati – hati kami. Syukur. Hatinya menjadi sebak.Nadhirah menghadiahkan senyuman kepada Aisyah. Lantas menyeka lembut air mata yang jatuh di pipi Aisyah.

“Kau masih punya peluang untuk kembali, Syah.” Ujar Nadhirah dengan nada sebak. Air matanya mengalir perlahan. Air mata kegembiraan.

“Tak, Nadhirah. Terlalu banyak dosa aku untuk aku hitung. Terlalu banyak dosa untuk aku tanggung. Terlalu banyak, Nadhirah.” Aisyah merintih perlahan. Dia merasa belakangnya diusap perlahan. Segera dia berpaling. Rasyidah!. Berpakaian telekung sembahyang lengkap, sama seperti Nadhirah.

“Allah ada menyebut dalam Surah An- Nisa’ yang berbunyi, ‘Dan mohonlah ampun daripada Allah. Sesungguhnya Allah itu, Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang’. Kau jangan sedih. Kau sudah menyedari kesalahan kau, itu sudah lebih dari cukup.” Ujar Rasyidah lembut. Aisyah segera memeluk Rasyidah.

“Adakah Allah masih terima taubat aku? Sedangkan aku terlalu jauh dengan Dia. Dosa aku terlalu banyak.” Aisyah merintih lagi. Dia terbayangkan satu persatu dosa yang telah dilakukan. Perit untuk diingat kembali. Rasyidah mengusap perlahan belakang Aisyah.

“Syah, Allah tak pernah mungkir janji. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk hambaNya. Sudah la tu, jangan nangis lagi. Sekejap lagi, teman – teman kita akan bangun untuk solat. Kau sertailah sekali. Berdoa dan mohon ampun dari Allah.” Rasyidah berbisik perlahan. Tiba – tiba, lampu kamar terbuka. Aisyah dan Rasyidah memandang ke arah suis utama kamar Sumayyah. Dini.

“Oh, ada orang menangis kerana Allah. Tak ajak saya sekali?,” Dini bergurau. Hakikatnya dia sendiri telah mendengar apa yang dibicarakan oleh Nadhirah, Rasyidah dan Aisyah. Sengaja dia mahu menceriakan suasana.

Aisyah, Nadhirah dan Rasyidah tersengih.

“Korang buat drama ke?,” Shahida yang baru terjaga menegur mereka bertiga

“Eyda, kau mamai lagi ke? Atau masih di alam mimpi lagi?” Tengku berjenaka sambil mengemaskan katilnya.

“Kau ni, asyik nak kenakan aku je. Apa yang kau tak puas hati dengan aku?,” ujar Shahida sambil turun dari katil. Sengaja mahu bergurau. Gurauan pagi untuk elak mengantuk.

“Sudahlah. Korang ni, pagi – pagi buta dah gaduh. Pelik aku tengok korang ni la. Tension aku. Lebih baik korang pergi mandi, ambil wudhuk. Dah pukul 4.30 ni.” Syafiqah yang baru pulang dari bilik air menegur mereka berdua


“Assalamualaikum, Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi kerana kita dapat berkumpul bersama – sama pada pagi yang mulia. Bukan senang untuk orang lain bangun seawal ini untuk bersujud kepada Allah. Dan kita, Alhamdulillah, dipermudahkan oleh Allah untuk bangun dan menyembah menghadap Illahi. Untuk tazkirah kali ini, saya jemput, ustazah baru iaitu Ustazah Aisyah Humaira’.Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan.,” Arisah menyakat lalu kembali duduk. Hari ini dia menjadi pengerusi untuk sesi tazkirah. Menjadi kebiasaan penghuni kamar Sumayyah,setelah melaksanakan qiamullail,  mereka akan duduk bersama – sama dan mendengar tazkirah sementara menunggu azan Subuh berkumandang. Penyampai tazkirah dan pengerusi adalah penghuni kamar itu sendiri dan mereka saling bergilir – gilir menyampaikan tazkirah. Namun, pada pagi itu, Aisyah meminta untuk bercakap.

Aisyah bangun perlahan – lahan dan berdiri di hadapan. Di pandang satu – satu wajah temannya yang lengkap berpakaian telekung sembahyang. Gementar menguasai diri.

“Assalamualaikum,” Aisyah memulakan bicara. Kedengaran teman – teman di hadapan menjawab salamnya.

“Pertama sekali,aku bukan nak bagi tazkirah. Siapalah aku  untuk memberi tazkirah seperti kamu semua.Berdirinya aku di sini, sebenarnya, aku nak minta maaf pada kamu semua. Aku tahu, aku banyak buat salah. Aku tahu, kerana kesalahan aku, nama baik batch kita jatuh sama sekali. Semua adik – adik, hilang hormat terhadap kita. Semua guru – guru mula benci kepada kita. Aku tahu, semua ini salah aku. Dan aku berjanji bersih semula nama baik batch ni. Aku tahu, selama ini, korang bersungguh – sungguh mempertahankan imej bersih agar korang menjadi contoh yang terbaik buat adik – adik. Tapi, aku telah rosakkan imej korang. Dan sekarang, hampir semua warga sekolah benci kepada batch kita. Maafkan aku.” Ujar Aisyah dengan nada sebak.

“Syah, kami sebenarnya dah lama maafkan kau. Lagipun, kami tak hairanlah sangat pasal imej kami ni. Asal kau kembali mendekatkan diri kepada Pencipta, itu sudah cukup bagi kami. Kau kan kawan kami.” Asmaa’ bersuara. Memecah kesunyian.

“Mulianya hati  korang. Aku malu dengan korang. Selama ini, aku dah banyak buat salah dengan korang. Aku dah banyak sakiti hati 
korang  Tapi, korang masih terima aku sebagai sahabat. Aku malu.” Ujar Aisyah sambil menahan tangisnya.

“Aisyah, biar malu di dunia. Jangan malu di akhirat. Lagipun, kau kan kawan kami. Satu batch dengan kami. Masakan kami nak buang kau,” Fatin pula berbicara.

“Beb, tak payah malu beb. Kita serupa. Kalau kau malu, aku lagi malu,” ujar Amira sambil menutup mukanya dengan kedua belah tangan lalu menyandarkan kepalanya pada bahu Nafisah. Semua penghuni kamar itu ketawa.

“Aik, sejak bila kau ada perasaan malu?,” Qaniah menyakat Amira.

“Sejak aku jumpa orang yang lebih baran daripada aku.” Ujar Amira sambil memandang wajah Aisyah. Aisyah tertunduk malu. “Nik, Madihah, aku dah jumpa seorang lagi calon untuk wakil sekolah ke tournament taekwando bulan Ogos nanti. Aku dah test power dia. Memang terangkat.” Amira menyakat lagi membayangkan pertemuannya tempoh hari yang menyebabkan dirinya hampir menjadi mangsa tumbukan sulung daripada Aisyah. Mujur dia sempat mengelak. 

“Nakal la kau ni,” ujar Sabrina sambil menggelengkan kepala.

“Terima kasih, semua. Aku tak tahu macam mana nak balas jasa dan budi baik korang. Korang dah banyak tolong aku. Nasihatkan aku, perbaiki diri aku, peringatkan aku. Aku tak tahu nak balas macam mana jasa korang.” Ujar Aisyah. Tangisnya semakin berkurang. Hatinya cukup lega dan lapang.

“Itu senang sahaja. Kau belanja kami makan. Habis cerita.” Ujar Naimah penuh bersemangat.

“Kau tu ingat makan je. Tak ada ke benda lain yang nak diingat?,” Syifaa’ memerli Naimah. Naimah menjelirkan lidah. Semua penghuni kamar Sumayyah ketawa.

Tuan Aisyah bangun dari tempat duduknya, lalu mendekati Aisyah Humaira'. Lantas Aisyah dipeluk erat. "Selamat berhijrah, Aisyah Humaira'. Nama isteri Rasulullah tu. Moga awak menjadi secerdas Saidatina Aisyah dalam membantu menegakkan panji Islam dimuka bumi Allah." ujar Tuan Aisyah.

Wajah rakan - rakan yang berada di hadapannya dipandang. Mereka mengangguk lembut seolah - olah membenarkan apa yang diucapkan oleh Tuan Aisyah. Aisyah mengangguk pantas. Pagi yang indah ini, aku telah merasai nikmat Islam yang sebenarnya dan nikmat ukhuwah. Di saat aku hanyut dalam kesukaran Kau hadiahkan aku sahabat - sahabat yang setia menghulurkan tangan membantu aku untuk terus bernafas dalam keimanan. Syukur Ya Rabb. Inilah dunia aku yang sebenar.Hatinya dibalut tenang. Ketenangan yang didambakan selama ini. Alhamdulillah.