Thursday 15 March 2012

Amanah


Apa perasaan anda andai dilantik menjadi pemimpin bagi sesebuah kumpulan?

Bangga?

Bersyukur?

Rasa diri dihormati?

Seronok?

“Mestilah best kalau dilantik menjadi ketua. Kerja pun senang. Arah je orang bawahan.”


Yap, menjadi ketua semestinya seronok kerana ketua akan sentiasa menjadi perhatian ramai. Sentiasa dicari. Kata orang, orang pentinglah kononnya. Tiada kita, maka sesuatu majlis atau acara takkan dapat diteruskan. Mesti seronok. Kalau kita tidak dilantik sebagai ketua, pasti akan terbit satu bisikan di dasar hati. Pasti kita akan tanya pada diri sendiri. Apasal aku tak terpilih? Bukankah aku lebih layak daripada mereka? Betul tak?

Jangan lupa, sebaik sahaja kita dilantik menjadi ketua bagi sesuatu organisasi, kumpulan, persatuan, dan sebagainya, bermakna tanggungjawab kita akan bertambah. Amanah baru tergalas di bahu. Ketika itu, pelbagai pengorbanan yang dituntut. Masa dan tenaga menjadi taruhan. Segala kebajikan orang bawahan kita, perlu diberi perhatian. Segala masalah yang menimpa, perlu diambil berat. Segala kesalahan, perlu ditegur dan diperbaiki. Hoho, mudah ke?

Firman Allah S.W.T dalam surah Al Anfal ayat 27 yang bermaksud:

“Hai orang – orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat – amanat yang diamanahkan kepadamu sedang kamu mengetahui,”

Bagi ana, tanggungjawab sebagai pemimpin, sangat – sangatlah sukar. Selama ni, ana sering kritik tentang pemimpin yang berada di atas ana. Lebih – lebih lagi ketua dorm. Andai mereka arah itu, ini, maka siaplah. Haha. Tumbuh tanduk la ana. Tapi Allah anugerahkan satu pengajaran buat ana. Allah bagi ana sendiri yang rasa bagaimana menjadi seorang pemimpin. Sewaktu ana berada di Tingkatan 4, ahli – ahli dorm Ummi Zar melantik ana menjadi ketua dorm. Mula – mula memang rasa bangga. Fulamak, mana tak bangga, orang dah bagi kepercayaan pada ana. Dan paling penting, ana di kalangan orang yang penting. Mana – mana anak buah ada masalah, ana akan dijadikan tempat rujukan mereka. Rasa macam orang penting la pulak.


Ketika awal persekolahan, memang seronok jadi ketua dorm. Ana paling berkuasa (angkuhnya). Haha. Tapi serius ana cakap. Memang tertekan dan stress amat. Paling bermasalah, apabila nak masuk halaqah. Kewajipan para pelajar di sekolah ana, setiap kali pukul 11.20 malam, kami akan membuat halaqah dan membaca Surah Al – Mulk dalam dorm masing – masing secara serentak yang diketuai oleh banin dengan menggunakan mikrofon surau. Menjadi tanggungjawab ketua dorm untuk memastikan anak – anak buah berada dalam dorm ketika itu. Setiap malam, ana perlu pastikan anak – anak buah ana dalam dorm. Sangat susah, sebab mereka kaki jalan. Selalu merayap ke dorm lain. Bila tanya, mereka jawab, mereka baca kat dorm sebelah. Mula – mula ana memang percaya bulat – bulat tapi bila kerap kali hilang dalam halaqah, timbul curiga jugak. Orang yang sama pulak tu. Ana perasan, setiap kali halaqah bermula, orang yang sama akan hilang. Hilang sebelum halaqah bermula, muncul balik bila halaqah tamat. Bila ana siasat, sekali lepak bawah tangga da…  Ho, berani tipu ana.


Paling ana tak boleh lupa, dorm ana dipanggil sewaktu perhimpunan pagi oleh warden banat, Ustazah Maniah. Katanya, dorm paling kaya sebab tak tutup lampu ketika keluar ‘prep’. Sebenarnya, malam tu, Ustazah dah panggil ana sebab dia tengok dorm ana tak tutup lampu ketika keluar ‘prep’. Ana pun pelik sebab ana adalah orang yang kali terakhir keluar dan ana sudah pastikan semua lampu dan kipas telah ditutup. Ustazah bagi warning supaya jangan ulang lagi tapi denda still berjalan. Berdiri di hadapan ketika perhimpunan pagi dijalankan. Ana dah mula berasap. Malam tu, halaqah berjalan dengan agak lama. Soal siasat siapa yang tak tutup lampu. Semua tak mengaku. Atau hantu yang bukak semua lampu dan kipas tu tak?


Keesokkannya, satu dorm kena berdiri di hadapan. Paling syok, bila Ustazah panggil ketua dorm dan berdiri di hadapan lelaki. Sangat – sangat memalukan. Ana pandang semua anak – anak buah ana. Rasa macam nak belasah hidup – hidup. Sabar je la. Last sekali, kami semua kena denda kawad tutup lampu. Idea pelik dari Cikgu Nazir.

“Kawad tutup lampu, dari kanan, cepat jalan,”

Disebabkan hari itu adalah hari Selasa, hari kokurikulum, tak pasal – pasal kena kawad. Kawad tutup lampu. Siapa lagi yang jadi tukang bagi arahan kalau bukan ana. Ketua dorm. Aiseh. Kawad yang agak unik. Sebaik ana jerit berhenti, ahli dorm ana akan berhenti dan buat gaya orang tutup lampu. Lepas kawad, barulah diberi kelepasan untuk masuk kelas Dengan muka malunya, ana lah yang menjerit – jerit bagi arahan. Dengan bilangan ahli dorm ana, iaitu 24 orang, maka Cikgu Nazir bagi idea suruh buat 5 orang setiap kali kawad.. Ana pulak, dengan muka tebal, terpaksa tunggu sehingga anak – anak buah selesai kawad. Ujian…


Dua kali jugak ana dan ahli dorm ana kena tayang. Kali kedua kes bawak pinggan dewan makan masuk dalam dorm. Adik – adik ana yang gemar makan dalam dorm. So, diorang bawak la pinggan masuk dalam dorm. Hantar pulak, malas amat. Sengaja letak tepi tiang. Ustazah dah berapa kali sound suruh hantar pinggan tapi masih dengan kekerasan hati, tak nak hantar. Sebelum bercuti, ana yang hantar pinggan yang diorang kumpul sebab ana bimbang takut satu dorm pulak yang kena denda. Dah macam nak buat bangunan. Buat kenduri ke apa entah. Banyak. Patutlah pihak dewan makan selalu mengadu kat Ustazah yang pinggan selalu tak cukup. Adik – adik dari dorm ana buat khazanah kat dalam dorm rupanya. Berbuih ana suruh mereka hantar. Nak aje bagi lempang jarak jauh. Tapi bila fikir balik anak orang, sabar. Biarlah ana pinggan diorang kat dewan makan tiap – tiap hari.Cewah.

Sampailah suatu minggu, ana tak kutip sebab sibuk dengan tournament memanah dan taekwando. Sangat penat dan ana sendiri tidak sempat nak cover yang kat dorm. Hanya harap kepada penolong dorm. Satu hari, dalam minggu yang sama, dorm ana diseru untuk berada di hadapan. Ana terkesima. Mesti kes pinggan yang tersusun cantik di tepi tiang. Bila semua dah beratur di hadapan, Ustazah umum tentang kesalahan yang kami lakukan. Bawak pinggan masuk dalam dorm dan seperti biasa, ana dipanggil dan berdiri di hadapan banin. Masa tu, rasa nak cincang je adik – adik dorm ana. Kemudian, ustazah suruh ana ambil pinggan – pinggan yang adik – adik kesayangan ana buat ‘hiasan’ tepi tiang, dekat dengan dorm. Dalam perjalanan untuk sampai kat dorm, ana fikir, apalah dosa ana sehingga adik – adik ana buat macam ni pada ana. Bukan ana tak bagi nasihat. Bukan ana tak tegur mereka. Sudah beberapa kali ana tegur, ana bagi nasihat, bagi amaran. Ya Allah bantulah ana.


Dalam perjalanan, ana kena serangan hebat daripada banin. Perhimpunan sudah bersurai barangkali. Apalagi, kena ejeklah. Macam – macam ana dengar.

“Ketua dorm tak boleh pakai,”

“Ketua dorm tak guna,”

“Nama je ketua dorm,”

Hati ana luluh. Terasa bagai dihiris sembilu. Cewah, ayat dramatis sungguh. Tapi serius, sampai je kat dataran perhimpunan, mata tiba – tiba berair. Kena ejek, dah satu masalah. Tambahan pula, bila lihat semua ahli dorm ana duduk bertinggung di dataran perhimpunan. Diberi pelbagai nasihat dan amaran oleh Ustazah. Kasihan melihat sahabat – sahabat ana yang terpaksa duduk bertinggung di hadapan khayalak ramai sedangkan mereka tak bersalah. Pilu melihat adik – adik ana yang tak bersalah yang terpaksa didenda sekali.


Tiba – tiba guru kaunseling, Cikgu Rusiati datang dekat dengan ana.

“Kenapa awak nangis,”

Bila ana diam, dia tanya lagi. Tak cukup dengan tu, dia peluk ana. Lagilah air mata ana mencurah laju. Haha. Malu pun ada. Cengeng betul ana ni. Yap, ana nangis sebab sahabat – sahabat dan adik – adik ana yang tak bersalah turut didenda. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Ana nangis sebab ana sedih tak dapat jadi ketua dorm dengan sebaiknya. Ana sedih sebab adik – adik ana sanggup buat ana macam ni. Selepas beberapa minit, kami dikehendaki beratur, dan dikendaki buat keretapi pinggan. Pegang pinggan secara bergilir – gilir sampailah kat dewan makan. Ana duduk depan, jalan dengan ustazah. Tak kena pegang pinggan pun. Anak – anak buah ana yang kena buat. Sambil jalan, ustazah bagi nasihat, dan maklumat berguna pada ana. Bagaimana nak kawal anak – anak buah ana yang sememangnya terdiri daripada mereka yang mempunyai rekod disiplin yang agak ‘cantik’. Terubat jugak hati ana yang sedang luka. Cewah.


Sampai kat dewan makan, ramai – ramai hantar pinggan dan mintak maaf dengan kak dewan makan. Kemudian, ustazah bagi nasihat. Yang paling touching,

“Cuba awak pandang muka ketua dorm awak,” ujar Ustazah. Semua pandang ana. Hoho, macam artis.

“Kesian dia. Nangis. Sebab apa? Sebab tingkah laku awak. Saya selalu dengar aduan dari dia. Bagaimana tingkah laku awak, perangai awak. Dan saya tengok macam – macam dia cuba buat untuk dorm. Awak tak kesian ke?,”

Cewah, terharu sangat. Terima kasih ustazah. Kalau ana cakap, budak – budak bukan nak ikut. Lepas je bagi nasihat, ramai – ramai datang kat ana dan minta maaf pada ana. Sejuk jugak hati. Baru ingat malam ni nak lancar perang dunia. Nampaknya tak jadi ni. Sedangkan Rasulullah S.A.W memaafkan umatnya, inikan pula ana yang hina ni. Sejak daripada tu, ana jadi malas nak pergi sekolah. Time balik kampung adalah saat paling bahagia sebab ana terlepas tanggungjawab sebagai ketua dorm buat sementara waktu. Tapi, bila time nak balik sekolah, ana jadi malas. Rasa macam berat nak pergi sekolah. Tanda tanggungjawab ana sebagai ketua dorm sudah bermula. Tengok asrama, aiseh. Bagai ada beban yang menanti. Habis tingkatan 4, ana jadi lega, bahagia, cewah. Mana taknya, tanggungjawab ana sebagai ketua dorm sudah lepas.

Dengan pelbagai dugaan dan cabaran yang menimpa ana, ana dapat belajar pelbagai perkara. Sungguh, pengalaman banyak mematangkan ana. Paling penting, ana ada pengalaman kawad tutup lampu, dan kereta api pinggan. Haha. Alhamdulillah, ana dah buat yang terbaik sebagai ketua dorm. Moga Allah terima segala apa yang ana lakukan.

Apapun, andai sesuatu amanah terpikul di bahu kita, jalankan amanah itu sebaiknya. Laksanakan sehabis daya. Jadilah seorang pemimpin yang bertanggungjawab melaksanakan tugas sebaik mungkin berpandukan ajaran Islam. Insya Allah, bakal melahirkan satu organisasi yang hebat dan mantap. Nak jadi pemimpin lagi tak? Soalan cepumas. Mulanya, ana sudah serik. Tapi bila muhasabah balik, menjadi pemimpin banyak mengajar kita untuk menjadi lebih sensitif, mengambil berat dan bertanggungjawab. Ha, amacam? Nak jadi pemimpin? Usah takut dan usah gentar. Dibenci, dikutuk, dihina itu sudah menjadi asam garam sebagai seorang pemimpin. Di negara kita, kita masih memerlukan pemimpin Islam untuk mentadbir negara. Jika bukan kita, siapa lagi???

Daripada Thauban, iaitu khadam kepada Rasulullah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya perkara yang aku takuti ke atas umatku ialah para pemimpin yang sesat."
( Riwayat Abu Daud dan al - Tirmizi ).

No comments:

Post a Comment