Sunday 4 March 2012

Cerpen: Aisyah Humaira'


Aisyah memandang sekeliling. Hanya ada susunan kemas katil - katil dan almari - almari yang tersusun rapi. Sunyi. Fikirannya kusut. Segera dia menyandarkan tubuhnya di palang katil. Kotak rokok segera dikeluarkan. Sebatang rokok diletakkan dibibirnya lantas dinyalakan api. Asap mula keluar dari mulut dan hidungnya. Tabiatnya sejak dahulu. Jika fikirannya kusut, pasti rokok yang dicari.

"Assalamualaikum," satu suara mengganggu lamunannya. Tidak dijawab malah leka dengan rokok yang sedang dihisapnya.

"Awak pelajar baru ya? Saya Tuan Aisyah. Panggil sahaja Kak Ya. Awak?," tegur seorang gadis berjilbab labuh dan lengkap berpakaian sekolah berdiri di sebelahnya. Entah bila munculnya dia sendiri tidak tahu.
Aisyah tidak menjawab. Dia menjeling gadis yang dikenali sebagai Kak Ya itu lalu tersenyum sinis. "Kau tak sekolah ke? Bukan sekarang waktu sekolah ke?," tanya Aisyah. Suaranya mendatar.

"Saya  lebih suka andai awak beritahu nama. Lebih mudah untuk kita berdua berkomunikasi," ujar Tuan Aisyah tenang.

Aisyah menjeling ke arah Tuan Aisyah. Hatinya semakin panas. " Hei, kau boleh tak blah dari sini? Aku tengah serabut ni tahu tak? Dan kau jangan nak menyibuk, jangan nak buat semak kat sini. Baik kau blah dari sini sebelum aku naik angin,"

"Saya  berada di sini kerana awak tanggungjawab saya. Saya kena pastikan dahulu awak selesa dan semua kelengkapan cukup," ujar Tuan Aisyah lembut. Bibirnya tidak putus dengan senyuman manis.

"Ha, sekarang, aku dah dapat katil, dorm, dan semua cukup. Nampaknya, dah tak ada apa dah. Kau boleh blah sekarang." ujar Aisyah lalu berdiri menghadap Tuan Aisyah sambil memeluk tubuh. Perlahan - lahan dia melepaskan asap rokok pada muka Tuan Aisyah.

Tuan Aisyah menahan nafas. Resdung yang dialaminya membuatkan dia alah dengan asap. Segera dia menahan nafas."Perlu awak ketahui bahawa dalam peraturan sekolah, awak tidak dibenarkan merokok. Satu lagi, andai waktu sebegini, semua pelajar perlu berada di blok akademik dan tidak dibenarkan berada di kawasan asrama. Jadi, awak perlu turun ke blok akademik. Lagipun, saya hendak tunjukkan kelas yang awak akan duduk. Marilah." Tuan Aisyah memujuk Aisyah. 

"Ada aku kisah? Sekarang aku nak, kau keluar dari sini." suara Aisyah mula memetir. Tuan Aisyah tergamam. "Keluar," Aisyah menolak tubuh Tuan Aisyah.

"Assalamualaikum," satu suara dari arah muka pintu kedengaran. Tuan Aisyah dan Aisyah berpaling ke arah suara itu. Seorang wanita dalam lingkungan 40 an berdiri di hadapan muka pintu.

"Ustazah Rohana," Tuan Aisyah segera menunduk. Ustazah Rohana adalah warden di sekolah itu dan sangat terkenal dengan ketegasannya.

"Tuan Aisyah, ada apa ni? Dari tadi saya dengar terjerit - jerit. Ada apa?," tanya Ustazah Rohana. Matanya bulat memandang kedua - dua pelajar itu.

"Maafkan saya ustazah," Tuan Aisyah mula bersuara. Aisyah memandang tajam ke arah Tuan Aisyah.

"Kenapa saya bau rokok?," tanya Ustazah Rohana pelik. Jantung Tuan Aisyah berdegup kencang. Segera dia memandang ke arah Aisyah. Aisyah tanpa rasa bersalah masih menghembuskan asap rokok bagi menunjukkan bahawa dialah yang merokok.

"Kamu pelajar baru,bukan? Sila ikut ke pejabat saya. Sekarang!," tegas sahaja suara Ustazah Rohana lantas berlalu pergi.

"Orait. No problem." ujar Aisyah lalu dihisap rokok yang berada di tangannya.

Tuan Aisyah memandang wajah Aisyah. Aisyah memandang sinis wajah Tuan Aisyah. "Apa pandang - pandang? Ada hutang?" tanya Aisyah lantas berlalu pergi. Sebaik sahaja melepasi Tuan Aisyah, Aisyah terdengar sesuatu.

''Moga Allah bersama awak,"

Aisyah memandang Tuan Aisyah. Dilihat gadis itu tertunduk. Air matanya mengalir perlahan. Hatinya bergetar. 'Ah pedulikan'. "Woi, satu sahaja aku nak bagitahu kau. Aku tak perlukan simpati kau," Aisyah menjerit sambil menyarung sandal.

Di tengah - tengah kamar itu, Tuan Aisyah terduduk. Ya Rabb, selamatkan sahabatku itu.

***

Aisyah memandang jauh ke padang. Mencari ketenangan yang didambakan hati. Rokok yang berada di tangannya dihisap penuh nikmat. Berharap ketenangan berkunjung singgah di sanubarinya. 'Kenapa mama dan papa buat Syah macam ni? Ini bukan dunia Syah. Syah tak nak sekolah kat sini.' Dia membayangkan suasana bersama rakan - rakanya sebelum dia masuk ke sekolah itu. Hari - hari yang berlalu, penuh keseronokkan. Dia rindukan waktu ketika bersama - sama rakan menyaksikan lumba haram. Dia rindukan saat ketika dia menghabiskan waktu malamnya bersama rakan - rakan. Dia rindukan saat ketika dia keluar bersiar - siar dengan rakan - rakan.

"Ini bukan dunia aku.” Aisyah menjerit kuat. Dia tidak kisah untuk menjerit kerana dia yakin pelajar – pelajar lain tidak akan dengar jeritannya.Kedudukan menara tangki air empat tingkat yang sedang diduduki itu terletak agak jauh dari kawasan asrama.

Dari puncak menara tangki air itu, sepasang mata sedang memerhatikan  Aisyah. Fatimatuzzahrak. Sejak tadi dia leka  memerhatikan Aisyah. Terdetik di hatinya untuk mendekati Aisyah.

“Pihak sekolah dah bersepakat dengan Lembaga Disiplin dan membuat keputusan memberi peluang kepada Aisyah untuk berubah selama dua bulan. Saya  pohon, kita bersama - sama membantu Aisyah. Membantu Aisyah, merubah dirinya. Saya tahu kamu semua tidak berpuas hati dengan sikap Aisyah. Panas baran, biadab, suka melawan dan sebagainya. Sepanjang dua bulan dia berada di sini, pelbagai masalah yang timbul. Kerana dia, ramai cikgu benci kita. Kerana dia, nama baik kita jatuh sama sekali. Kerana dia, adik – adik hilang hormat terhadap kita. Saya tahu kamu sakit hati dengan Aisyah. Tapi, untuk kali ini, saya rayu, kita bagi peluang kepada Aisyah. Buka hati kamu semua untuk menerima Aisyah. Aisyah adalah seangkatan dengan kita. Andai kita tidak bantu dia, siapa lagi yang mahu membantu? Sekarang, Allah sedang menguji kita dengan kehadiran Aisyah. Kamu semua tahu tak, di luar sana, ada ramai lagi berperangai seperti Aisyah malahan lebih teruk pun ada.Allah anugerahkan Aisyah kepada kita semua agar kita  lebih bersedia untuk terjun ke medan masyarakat bagi memimpin mereka untuk mendekati Islam. Bukankah itu impian kamu? Membawa masyarakat ke jalan yang diredhai Allah?”

Kata – kata Tuan Aisyah ketika perjumpaan semalam masih tengiang – ngiang di telinga Fatimatuzzahrak. ‘Ya. Aku akan bantu kau, sahabatku’. Hati Fatimatuzzahrak menjerit. Segera dia turun dari puncak menara tangki air  ke tingkat dua, di mana Aisyah berada ketika itu.

"Assalamualaikum," Fatimatuzzahrak memberi salam lantas duduk di sebelah Aisyah. Rokok yang berada di tangan Aisyah, segera di ambil lalu dicampakkan ke bawah.

“Kau buat apa ni?,” Aisyah membentak. Salam daripada Fatimatuzzahrak dibiarkan sepi. Hatinya panas. Itu adalah rokok terakhir yang berada dalam simpanannya. Sebelum ini tiada seorang pun yang pernah buat perkara seperti Fatimatuzzahrak lakukan. Perempuan ni dah melampau! Dia belum pernah kenal siapa Syah.

“Rokok haram. Allah tidak suka orang yang mencampakkan diri mereka ke dalam kerosakkan,” Fatimatuzzahrak berbicara tenang.

“Ada aku kisah? Badan aku. Bukan badan kau.” Aisyah membalas.

“Tetapi kau kena ingat, asap rokok kau tu telah menyebabkan orang lain menderita. Kalau kau nak tahu, gara – gara asap rokok yang kau sedut inilah resdung Kak Ya kembali teruk. Berapa hari dia tak boleh fokus dalam kelas gara- gara resdung dan ini semua berpunca daripada asap rokok yang kau hisap.” Ujar Fatimatuzzahrak. Dia tahu bahawa Tuan Aisyah sememangnya mempunyai penyakit resdung yang kronik dan Tuan Aisyah  sangat alah terhadap asap, makanan laut serta debu. Andai dia terdedah, resdungnya akan menyerang dan menyebabkan jadual harian Tuan Aisyah terganggu.

Aisyah terdiam. Suasana sepi seketika.

“Kau ada masalah ke?,” Tanya Fatimatuzzahrak. Memecah kesunyian.

“Kalau aku cerita pun, kau takkan faham.” Ujar Aisyah sinis.

“Kau belum cerita. Bagaimana aku nak faham,” Fatimatuzzahrak membalas.

Aisyah terdiam. Suasana sepi seketika. Fatimatuzzahrak masih setia menunggu luahan hati daripada Aisyah.

“Aku tak suka sekolah ini. Ini bukan dunia aku. Itu tak boleh, ini tak boleh. Apa ni? Aku tak faham la.” Aisyah meluahkan apa yang terpendam dengan nada yang agak kasar. Dia masih teringat peristiwa ketika mula – mula dia masuk ke sekolah itu. Pelbagai barangan kegemarannya dirampas. Majalah, seluar pendek, gelang, mp3, telefon bimbit dan rokok. Dan rokok yang baru dihisapnya tadi pun adalah stok yang masih dia sempat sorokkan.

“Bukan dunia kau?,” Fatimatuzzahrak bertanya sinis. “Maksud kau, dunia kau yang tak boleh terima segala peraturan sekolah ini? Macam tu?,”

“Ya lah. Kena ikut usrah. Kena dengar ceramah. Bangun tengah malam, sembahyang. Apa ni? Dunia aku, bukan macam tu. Dan aku bukan golongan macam korang. Alim.,” Aisyah cuba mempertahankan pendapatnya.

“Kami bukan alim. Kami adalah hamba. Hamba kepada Pencipta iaitu Allah. Dan kau pun sama. Kau juga adalah seorang hamba kepada Pencipta. Allah telah berfirman dalam surah Az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud ‘Tidak sesekali aku menciptakan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah’. Kami berusrah bersama – sama, kami mendengar ceramah, dan bangun malam adalah kerana kami yakin bahawa hidup ini adalah pengabdian kepada Allah.” Fatimatuzzahrak menerangkan dengan panjang lebar.

Aisyah terdiam. Hatinya sedikit terusik.

“Aku tahu, kau terseksa gara – gara cara hidup kau yang dahulu dan sekarang jauh berbeza. Kau lebih suka dengan cara hidup kau yang dahulu berbanding cara hidup kau sekarang. Aku faham. Aku teringat satu firman Allah dalam Surah Al – Baqarah ayat 216 yang bermaksud, 'boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu adalah yang baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.' Mungkin sekarang kau tak rasa kelebihan dengan gaya hidup kami tetapi suatu hari nanti, kau akan rasa kelebihan itu sendiri. Percayalah.” Ujar Fatimatuzzahrak sambil mengenyitkan matanya kepada Aisyah.  Aisyah diam membisu..

“Fatimah, kome buat apa kat ataih tu. Kome janji nak ajar teman add math. Teman dah lama tunggu,” satu suara dari bawah memecah kesunyian di antara mereka. Fatimatuzzahrak memandang ke bawah. Dilihat Mahfuzah, anak kelahiran Perak itu sedang memeluk tubuh sambil memandang ke arah Fatimatuzzahrak.

“Sorry Fuzah. Aku lupa. Kejap, aku turun sekarang.” Fatimatuzzahrak menuruni tangga. Hanya beberapa anak tangga, Fatimatuzzahrak berhenti lalu memandang ke wajah Aisyah.

“Allah pernah berfirman, ‘ketahuilah bahawa dengan mengingati Aku nescaya hatimu akan menjadi tenang’. Allah tidak pernah mungkir janji tau.” Ujar Fatimatuzzahrak lantas menghadiahkan senyuman kepada Aisyah.

Aisyah terkesima. Hatinya diburu pelbagai rasa dan dia sendiri tidak mampu menterjemahkan apa yang dia rasa.

***

"Ini semua kau punya pasal la ni. Kalau tak kerana kau, aku takkan buat kerja macam ni," kasar sahaja suara Aisyah melaungkan amarahnya terhadap Amira dari tandas pertama. Dia memberus lantai di tandas pertama dengan perasaan marah. Penat. Bilik air asrama di sekolah itu cukup besar di mana tandas itu dilengkapi dengan tempat membasuh, empat bilik mandi, lapan sinki, tempat berwudhuk dan dua belas bilik air. Hatinya sakit sebaik sahaja dijatuhkan hukuman mencuci bilik air  asrama. Semua gara - gara Amira yang cari pasal dengannya. Aisyah terbayang saat Amira terlanggar bahunya. Sebenarnya salah dirinya yang berjalan tanpa melihat ke hadapan. Hampir sahaja tumbukannya mengenai muka Amira. Namun, gadis itu pantas mengelak. Malang nasibnya, ketika itu, guru disiplin sedang melalui kawasan itu.

"Okey, aku minta maaf. Aku yang salah." kata - kata Amira itu mematikan lamunannya. Segera dia keluar dari tandas pertama. Dilihat Amira sedang memberus lantai tempat berwudhuk. Amira memandang wajah Aisyah lantas tersenyum.

"Apa senyum - senyum? Kau suka la kan tengok aku kena denda macam ni? Suka la dapat kenakan aku?" ujar Aisyah sambil matanya memandang wajah Amira.

"Kau ingat kau seorang sahaja yang kena cuci tandas?  Aku tak kena?," ujar Amira. Senyumannya masih tak lekang dibibirnya. Tangannya masih ligat memberus lantai. Dia harus cepat menyiapkan dendanya itu kerana bimbang mengganggu jadual hariannya. Sepatutnya ketika ini, waktu untuk dirinya menyiapkan kerja sekolah setelah menunaikan solat Asar. Malangnya, dia dipanggil oleh warden dan dijatuhkan denda kerana bergaduh dengan Aisyah.

"Habis yang kau senyum - senyum tu kenapa? Bukan tujuan kau nak menyindir aku?," Hati Aisyah semakin membara melihat senyuman Aisyah. Seolah - olah meraikan kemenangan setelah mengenakan dirinya.

"Aku senyum, sebab kau sama seperti aku masa mula - mula masuk sini. Apa budak - bidak sini cop kau? Singa betina?," Amira cuba menyakat.

"Kau agak - agak la." Aisyah memercikkan air ke arah Amira dengan menggunakan berus lantai yang ada di tangannya.

"Hoi, agak - agak la. Kau berus jamban guna berus tu. Lepas tu kau main macam tu pulak. Habis muka aku. Kotor la. Kang berjerawat naya je," Amira meninggikan suara sedikit. Segera dia membasuh muka.

"Kau cakap kau panas baran? Tipulah," ujar Aisyah. Hatinya diburu pelik. Jika dilihat, Amira bukanlah seorang yang  panas baran tetapi seorang yang ceria. Lebih – lebih lagi, apabila bersama teman – temannya. Dia pernah melihat kehidupan Amira. Cukup mesra dengan teman - teman yang lain termasuk semua pekerja tukang sapu dan tukang masak. Sangat ramah dan mereka bagaikan satu keluarga. Mustahil dia seorang yang panas baran.

"Aku pun sama macam kau jugak. Panas baran, biadab. Lebih - lebih lagi aku ni sejak dari sekolah rendah lagi perangai macam lelaki. Bab gaduh, tak usah cakap la. Mak aku dah berpuluh kali turun naik tangga sekolah rendah aku pasal gaduh. Tambahan pulak aku ni pengawas, lagi la best aku buli orang. Bila cikgu tanya kenapa belasah? Aku jawablah yang budak tu mencuri ke, lawan aku ke, apa - apa la. Asal boleh menyelamatkan aku. Baik lelaki mahupun perempuan, semua aku bantai. Ketika aku masuk sekolah ini pun sama. Kejutan budaya, kot. Kalau dulu, aku boleh buat apa yang aku nak. Tiba – tiba, masuk sini, semua tak boleh. Itu tak boleh. Ini tak boleh. Kadang – kadang aku sendiri naik bosan. Tapi semua tu, cerita dulu. Sekarang, aku Amira yang baru. Bukan Amir yang penuh dengan kekasaran." ujar Amira sambil tangannya mencurahkan air yang berada dalam baldi ke lantai.

"Habis, macam mana kau jadi macam sekarang?," Aisyah bertanya.

Amira terpaku. Ya Rabb, dia masih punya keinginan untuk berubah. Amira senyum. "Pertama sekali, hati," ujar Amira sambil memandang muka Aisyah. Aisyah mengerutkan dahinya tanda tidak faham.

"Okey, kau bayangkan baldi ini hati." Amira menunjukkan baldi yang berada di tangannya. Kemudian dia telangkupkan baldi itu. "Okey, baldi ni ibarat hati yang ditutup." Kemudian Amira memulas kepala paip yang terdapat di tempat wudhuk itu. Air yang keluar, melimpah ke atas baldi lalu jatuh ke lantai. Amira memulas kembali dan memandang semula ke arah Aisyah yang masih terpinga - pinga.

"Kau tengok, air ni keluar bukan? Samalah macam hati. Andai kita tutup hati kita, semua teguran, semua nasihat, semua peringatan, takkan masuk ke dalam hati kita. Takkan masuk ke dalam jiwa kita." Amira terbalikkan kedudukan baldi. Kemudian dia memulas kembali kepala paip. Air yang keluar, masuk ke dalam baldi dan ketika air hampir penuh, Amira memulas kepala paip. Air berhenti keluar.

" Dan sekarang, baldi ni ibarat hati yang terbuka. Hati yang lapang. Dapat menerima segala teguran, nasihat, dan peringatan." ujar Amira sambil tersenyum memandang Aisyah. Aisyah terpana.

"Hai kawan, banyak lagi?," satu suara muncul di belakang Amira. Amira dan Aisyah berpaling ke arah suara itu. Kamilah muncul disebalik pintu.

"Banyak lagi la beb. Kalau korang nak mandi, korang pergi la bilik air lain. Banyak lagi tak cuci. Sorry." ujar Amira apabila melihat Mazrina, Syakirah, Kamilah, Hidayah dan Munira masuk ke bilik mandi itu dengan membawa tuala serta bakul mandi. Barangkali sudah pukul enam. Kebiasaan pelajar di situ, akan mandi dalam waktu sebegini kerana selepas ini, mereka akan bersiap untuk makan malam.

"Ah, tak apa. Kita basuh sama - sama. Lagipun dah lewat ni. Sekejap lagi, waktu makan." ujar Mazrina lantas meletakkan bakul mandinya di sinki diikuti yang lain.

"Eh, tak apa. Korang pergi mandi, biar kami yang basuh. Lagipun memang salah aku. Panas baran sangat." ujar Amira cuba menahan Hidayah yang cuba mengambil berus lantai daripada tangannya.

"Tahu pun. Satu pengajaran buat kau. Lain kali, kawal nafsu marah tu sikit." Hidayah menyindir lantas dirampas berus lantai dari tangan Amira.

"Lagipun, mana mungkin kami nak makan dengan tenang kalau korang berdua sibuk sental lantai. Lapar sama - sama la beb." ujar Munira dari bilik air yang paling hujung.

"Apa yang penting?," Syakirah menjerit seronok sambil memegang paip getah. 

"Kerjasama" Kamilah, Munira, Syakirah, Hidayah dan Mazrina menjerit riang sambil tangan mereka ligat melakukan kerja - kerja membersihkan tandas. Amira menggelengkan kepala. Aisyah terpaku.

"Hai, tak tunggu kami?," Kedengaran suara lain muncul. Hayati.

"Nak join boleh?" Izzatie pula muncul.

"Apasal tak cakap dari awal?" Atiqah pula masuk.

“Buat amal tak ajak kami?” Azyan yang muncul di belakang Atiqah pula bertanya.

Dilihat ramai pelajar perempuan masuk ke dalam bilik mandi itu. Yang pasti, semua itu adalah teman seangkatan dengannya. Seorang demi seorang masuk, meletakkan bakul mandi, dan membantu teman - teman yang lain mencuci tandas. Hati Aisyah bagai disirami satu perasaan aneh namun tidak dapat dicari apakah perasaan itu. Tidak dapat diceritakan bagaimana perasaan itu.

“Jangan lupa, ego juga perlu dibuang.” bisik Amira sambil mengenyitkan mata.

***

Aisyah merebahkan badannya di atas katil. Kepalanya pusing. Badannya dirasakan amat letih. Hampir sahaja dia mahu melelapkan mata, Ain mendekati katilnya.

“Kau tak sihat ke?,” Ain bertanya dengan nada bimbang.

“Tak ada apalah. Aku okey. Aku cuma penat sikit.” Ujar Aisyah acuh tak acuh. Dia malas mahu berbicara panjang. Kepalanya pening dan dia mahu tidur.

“Kenapa muka kau merah?,” Tanya Ain bimbang lantas meletakkan belakang tangannya di atas dahi Aisyah.

“Panas. Kau demam ya?,”

Aisyah menepis tangan Ain. “Aku demam ke, aku nak mati ke, ada aku kisah?. Kau blah boleh tak?. Aku nak tidur.” Ujar Aisyah kasar. Sebaik melihat Ain berlalu pergi, perlahan - lahan dia memejamkan mata. Berharap dengan cara itu, peningnya akan hilang.


“Aisyah, bangun.” Satu suara sayup kedengaran di telinganya. Dia membuka mata – mata perlahan – lahan. Silauan lampu kalimantan menyukarkan untuk dirinya membuka mata. Aisyah memandang sekeliling. Dilihat dua orang perempuan setia duduk di sebelahnya. Seorang memegang pinggan, dan seorang lagi mengelap tangannya dengan tuala basah.

“Aisyah, bangun. Makan sikit. Kau dari tadi tidak makan,” ujar Hasfaiza sambil membantu mendudukkan Aisyah apabila melihat Aisyah terkial – kial untuk duduk.

“Dah pukul berapa sekarang?,” Aisyah bertanya dengan suara yang serak. Tekaknya perit.

“Sekarang dah pukul 7.30. Kau tidur sejak petang tadi lagi. Sekarang, kau makan sikit, kemudian kau 
mandi, solat. Lepas Isya’ nanti, kita pergi klinik.” Ujar Iylia lembut.

“Aku tak ada selera la.” Ujar Aisyah sebaik melihat Hasfaiza menghulurkan pinggan.

“Jangan la macam tu. Penat Shahirah ambilkan makanan ni. Kalau kau tak ada selera, paling kurang, hargailah usaha Shahirah. Makan sikit, ya?” Iylia cuba memujuk lembut.

“Aku tak suruh pun. Yang korang sibuk apasal?,” Aisyah menyinga. Iylia menggelengkan kepala.

“Okey, kalau kau tak nak makan, kau pergi mandi, then kau solat.” Ujar Hasfaiza sambil meletakkan pinggan di atas meja belajar Aisyah.

“Yang kau sibuk – sibuk aturkan hidup aku apasal? Aku yang sakit. Bukan kau.” Aisyah membentak kasar.

“Sebab kau sahabat aku. Kalau kau sakit, aku pun rasa sakit. Aku dah tak sanggup tengok kau terbaring macam ni. Sekarang, aku nak, kau bangun, mandi, lepas tu solat.” Ujar Hasfaiza lantas menarik selimut Aisyah. Iylia menarik lembut tangan Aisyah agar Aisyah berdiri. Aisyah cuba menolak, namun badannya yang lemah menyebabkan dia hanya mampu menurut. Hanya mulutnya sahaja rancak memaki hamun Iylia dan Hasfaiza.



Aisyah membuka mata perlahan – lahan. Dia lihat, di sisinya, Maisara sedang tidur dalam keadaan duduk di sebelahnya. Kepala Maisara terlentok di sisinya dengan berbantalkan lengan. Selepas pulang dari klinik sebentar tadi, dia terus tidur. Dia bangun perlahan – lahan. Bimbang bakal mengejutkan Maisara. Kepalanya terasa lega sedikit. Baru sahaja dia mahu turun, Maisara sudah tersedar dari tidurnya.

“Syah, kau nak pergi tandas ke?,” Tanya Maisara sambil menggeliat kecil. Lenguh barangkali kerana tidur dalam keadaan duduk.

Aisyah mengangguk lemah. Maisara segera berdiri.

“Sini, aku bantu kau,” Maisara memegang tangan Aisyah. Ingin ditolak tangan itu, namun hatinya kuat mengatakan jangan. Entah mengapa.

Sebaik pulang dari tandas, mereka berdua bertembung dengan Azimah.

“Maisara, kau tidur la. Sekarang turn aku pulak jaga Syah.” Ujar Azimah lembut. Maisara memandang ke arah jam dinding. 3.00 pagi. Gilirannya untuk menjaga Aisyah telah tamat. Maisara hanya mengangguk lembut. Segera dia membantu mendudukkan Aisyah di atas katil.

“Moga cepat sembuh.” Ujar Maisara sambil mencuit pipi Aisyah kemudian berlalu pergi. Aisyah terkesima.

“Kau tidurlah. Kau perlukan rehat.” Ujar Azimah lembut lantas menyelimutkan Aisyah. Tiba – tiba Nadhirah muncul dari belakang Azimah, lalu mendekati Aisyah. Meletakkan belakang tapak tangan pada dahi Aisyah.

“Demam kau belum kebah. Tidur la dulu.” Ujar Nadhirah lembut.

“Pukul 4.00 nanti turn aku kan?,” Nadhirah bertanya kepada Azimah. Inginkan kepastian. Sudah menjadi kebiasaan kamar Sumayyah, andai terdapat salah seorang penghuni sakit, pasti mereka akan bergilir – gilir untuk menjaga. Setiap satu jam, pasti mereka akan bertukar giliran.

Azimah mengangguk lembut. “Kau tidur la dulu. Nanti, pukul 4.00, aku kejutkan kau.” Azimah membalas. Nadhirah mengangguk lembut lantas beredar ke muka pintu. Pergi bilik air barangkali. Aisyah menyambung tidurnya. Pening di kepala masih terasa.


Tekak Aisyah terasa perit. Dia membuka mata. Memandang ke arah tingkap. Gelap. Tanda waktu belum menghampiri pagi. Cuba untuk bangun. Namun, telinganya tertangkap satu suara.

“Ya Allah, sihatkanlah tubuh badan Aisyah Humaira’. Lapangkanlah dada Aisyah Humaira’. Permudahkanlah segala urusan Aisyah Humaira’. Berikanlah petunjuk kepada Aisyah Humaira’. Lembutkanlah jiwanya agar dia bisa menjadi hambaMu yang solehah. Berikanlah dia kekuatan untuk melawan segala anasir yang menjauhkan dirinya daripadaMu.”

Aisyah berpaling ke arah suara itu. Dia melihat satu lembaga berpakaian putih di sebelah katilnya. Nadhirah!. Aisyah lihat, Nadhirah sedang berdoa sambil bahu Nadhirah terhenjut – henjut. Nadhirah menangis?. Aisyah baring semula. 

Fikirannya bercelaru. Pelbagai soalan bermain di fikirannya. Kenapa mereka semua terlalu mengambil berat terhadap aku? Aku? Pernah mengambil berat masa mereka? Pernah aku berdoa untuk mereka? Doa? Hati Aisyah bergetar. Sudah lama dia tidak menjejakkan kaki di tikar sembahyang. Selama ini, dia sering mengelak andai teman – temannya mengajak untuk solat fardhu berjemaah. Ya Allah, aku terlalu jauh daripadaMu.

Aisyah bangun perlahan – lahan. Mendekati Nadhirah yang sedang leka berwirid.

“Nadhirah, maafkan aku.” Ujar Aisyah dengan suara yang serak sambil memegang tangan Nadhirah. Nadhirah memandang ke arah Aisyah.

“Eh, Syah. Kau okey? Kalau kau nak apa – apa, panggil aku. Kau belum sihat sepenuhnya.” Ujar Nadhirah lembut sambil tangannya memegang lengan Aisyah. Dia bangun dari sejadah untuk membantu Aisyah berdiri. Namun, Aisyah seolah – olah berkeras. Tidak mahu berdiri. Nadhirah memandang pelik ke wajah Aisyah. Air mata Aisyah mengalir deras. Nadhirah semakin takut. ‘Sakit sangatkah sehingga Aisyah menangis?’. Nadhirah duduk kembali.

“Syah, kau okey?,” Nadhirah bertanya. Bimbang.Kedua belah pipi Aisyah dipegang lembut.

“Nadhirah, terlalu banyak dosa yang aku lakukan. Aku banyak buat dosa dengan korang. Aku banyak buat dosa dengan semua cikgu. Aku banyak buat dosa dengan mak dan ayah aku. Aku banyak buat dosa dengan Allah. Aku lupa siapa yang menciptakan aku. Aku lupa dari mana asal aku. Banyak dosa aku, Nadhirah.” Aisyah meluahkan apa yang terpendam. Ego yang berada dalam dirinya selama ini, hancur sama sekali.

Nadhirah terpegun. Alhamdulillah. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Membolak – balikkan hati – hati kami. Syukur. Hatinya menjadi sebak.Nadhirah menghadiahkan senyuman kepada Aisyah. Lantas menyeka lembut air mata yang jatuh di pipi Aisyah.

“Kau masih punya peluang untuk kembali, Syah.” Ujar Nadhirah dengan nada sebak. Air matanya mengalir perlahan. Air mata kegembiraan.

“Tak, Nadhirah. Terlalu banyak dosa aku untuk aku hitung. Terlalu banyak dosa untuk aku tanggung. Terlalu banyak, Nadhirah.” Aisyah merintih perlahan. Dia merasa belakangnya diusap perlahan. Segera dia berpaling. Rasyidah!. Berpakaian telekung sembahyang lengkap, sama seperti Nadhirah.

“Allah ada menyebut dalam Surah An- Nisa’ yang berbunyi, ‘Dan mohonlah ampun daripada Allah. Sesungguhnya Allah itu, Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang’. Kau jangan sedih. Kau sudah menyedari kesalahan kau, itu sudah lebih dari cukup.” Ujar Rasyidah lembut. Aisyah segera memeluk Rasyidah.

“Adakah Allah masih terima taubat aku? Sedangkan aku terlalu jauh dengan Dia. Dosa aku terlalu banyak.” Aisyah merintih lagi. Dia terbayangkan satu persatu dosa yang telah dilakukan. Perit untuk diingat kembali. Rasyidah mengusap perlahan belakang Aisyah.

“Syah, Allah tak pernah mungkir janji. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk hambaNya. Sudah la tu, jangan nangis lagi. Sekejap lagi, teman – teman kita akan bangun untuk solat. Kau sertailah sekali. Berdoa dan mohon ampun dari Allah.” Rasyidah berbisik perlahan. Tiba – tiba, lampu kamar terbuka. Aisyah dan Rasyidah memandang ke arah suis utama kamar Sumayyah. Dini.

“Oh, ada orang menangis kerana Allah. Tak ajak saya sekali?,” Dini bergurau. Hakikatnya dia sendiri telah mendengar apa yang dibicarakan oleh Nadhirah, Rasyidah dan Aisyah. Sengaja dia mahu menceriakan suasana.

Aisyah, Nadhirah dan Rasyidah tersengih.

“Korang buat drama ke?,” Shahida yang baru terjaga menegur mereka bertiga

“Eyda, kau mamai lagi ke? Atau masih di alam mimpi lagi?” Tengku berjenaka sambil mengemaskan katilnya.

“Kau ni, asyik nak kenakan aku je. Apa yang kau tak puas hati dengan aku?,” ujar Shahida sambil turun dari katil. Sengaja mahu bergurau. Gurauan pagi untuk elak mengantuk.

“Sudahlah. Korang ni, pagi – pagi buta dah gaduh. Pelik aku tengok korang ni la. Tension aku. Lebih baik korang pergi mandi, ambil wudhuk. Dah pukul 4.30 ni.” Syafiqah yang baru pulang dari bilik air menegur mereka berdua


“Assalamualaikum, Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi kerana kita dapat berkumpul bersama – sama pada pagi yang mulia. Bukan senang untuk orang lain bangun seawal ini untuk bersujud kepada Allah. Dan kita, Alhamdulillah, dipermudahkan oleh Allah untuk bangun dan menyembah menghadap Illahi. Untuk tazkirah kali ini, saya jemput, ustazah baru iaitu Ustazah Aisyah Humaira’.Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan.,” Arisah menyakat lalu kembali duduk. Hari ini dia menjadi pengerusi untuk sesi tazkirah. Menjadi kebiasaan penghuni kamar Sumayyah,setelah melaksanakan qiamullail,  mereka akan duduk bersama – sama dan mendengar tazkirah sementara menunggu azan Subuh berkumandang. Penyampai tazkirah dan pengerusi adalah penghuni kamar itu sendiri dan mereka saling bergilir – gilir menyampaikan tazkirah. Namun, pada pagi itu, Aisyah meminta untuk bercakap.

Aisyah bangun perlahan – lahan dan berdiri di hadapan. Di pandang satu – satu wajah temannya yang lengkap berpakaian telekung sembahyang. Gementar menguasai diri.

“Assalamualaikum,” Aisyah memulakan bicara. Kedengaran teman – teman di hadapan menjawab salamnya.

“Pertama sekali,aku bukan nak bagi tazkirah. Siapalah aku  untuk memberi tazkirah seperti kamu semua.Berdirinya aku di sini, sebenarnya, aku nak minta maaf pada kamu semua. Aku tahu, aku banyak buat salah. Aku tahu, kerana kesalahan aku, nama baik batch kita jatuh sama sekali. Semua adik – adik, hilang hormat terhadap kita. Semua guru – guru mula benci kepada kita. Aku tahu, semua ini salah aku. Dan aku berjanji bersih semula nama baik batch ni. Aku tahu, selama ini, korang bersungguh – sungguh mempertahankan imej bersih agar korang menjadi contoh yang terbaik buat adik – adik. Tapi, aku telah rosakkan imej korang. Dan sekarang, hampir semua warga sekolah benci kepada batch kita. Maafkan aku.” Ujar Aisyah dengan nada sebak.

“Syah, kami sebenarnya dah lama maafkan kau. Lagipun, kami tak hairanlah sangat pasal imej kami ni. Asal kau kembali mendekatkan diri kepada Pencipta, itu sudah cukup bagi kami. Kau kan kawan kami.” Asmaa’ bersuara. Memecah kesunyian.

“Mulianya hati  korang. Aku malu dengan korang. Selama ini, aku dah banyak buat salah dengan korang. Aku dah banyak sakiti hati 
korang  Tapi, korang masih terima aku sebagai sahabat. Aku malu.” Ujar Aisyah sambil menahan tangisnya.

“Aisyah, biar malu di dunia. Jangan malu di akhirat. Lagipun, kau kan kawan kami. Satu batch dengan kami. Masakan kami nak buang kau,” Fatin pula berbicara.

“Beb, tak payah malu beb. Kita serupa. Kalau kau malu, aku lagi malu,” ujar Amira sambil menutup mukanya dengan kedua belah tangan lalu menyandarkan kepalanya pada bahu Nafisah. Semua penghuni kamar itu ketawa.

“Aik, sejak bila kau ada perasaan malu?,” Qaniah menyakat Amira.

“Sejak aku jumpa orang yang lebih baran daripada aku.” Ujar Amira sambil memandang wajah Aisyah. Aisyah tertunduk malu. “Nik, Madihah, aku dah jumpa seorang lagi calon untuk wakil sekolah ke tournament taekwando bulan Ogos nanti. Aku dah test power dia. Memang terangkat.” Amira menyakat lagi membayangkan pertemuannya tempoh hari yang menyebabkan dirinya hampir menjadi mangsa tumbukan sulung daripada Aisyah. Mujur dia sempat mengelak. 

“Nakal la kau ni,” ujar Sabrina sambil menggelengkan kepala.

“Terima kasih, semua. Aku tak tahu macam mana nak balas jasa dan budi baik korang. Korang dah banyak tolong aku. Nasihatkan aku, perbaiki diri aku, peringatkan aku. Aku tak tahu nak balas macam mana jasa korang.” Ujar Aisyah. Tangisnya semakin berkurang. Hatinya cukup lega dan lapang.

“Itu senang sahaja. Kau belanja kami makan. Habis cerita.” Ujar Naimah penuh bersemangat.

“Kau tu ingat makan je. Tak ada ke benda lain yang nak diingat?,” Syifaa’ memerli Naimah. Naimah menjelirkan lidah. Semua penghuni kamar Sumayyah ketawa.

Tuan Aisyah bangun dari tempat duduknya, lalu mendekati Aisyah Humaira'. Lantas Aisyah dipeluk erat. "Selamat berhijrah, Aisyah Humaira'. Nama isteri Rasulullah tu. Moga awak menjadi secerdas Saidatina Aisyah dalam membantu menegakkan panji Islam dimuka bumi Allah." ujar Tuan Aisyah.

Wajah rakan - rakan yang berada di hadapannya dipandang. Mereka mengangguk lembut seolah - olah membenarkan apa yang diucapkan oleh Tuan Aisyah. Aisyah mengangguk pantas. Pagi yang indah ini, aku telah merasai nikmat Islam yang sebenarnya dan nikmat ukhuwah. Di saat aku hanyut dalam kesukaran Kau hadiahkan aku sahabat - sahabat yang setia menghulurkan tangan membantu aku untuk terus bernafas dalam keimanan. Syukur Ya Rabb. Inilah dunia aku yang sebenar.Hatinya dibalut tenang. Ketenangan yang didambakan selama ini. Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment