Thursday 1 March 2012

Elak mengumpat


Assalamualaikum


Mak saudara aku ada cerita kat aku tentang jirannya yang suka ajak mengumpat. Dia minta pendapat aku macam mana nak jauhkan diri daripada mengumpat. Tanya aku? Aku pun suka mengumpat jugak. Haha.. Kalau dah bertemu dengan sahabat, sure semua benda nak cakap. Tapi ngumpat benda baik. Adalah jugak terpesong sikit. Haha.. Perempuan, memang tak boleh lari daripada bab ngumpat. Tapi bukan perempuan je. Lelaki pun kadang - kadang sama naik. Apapun, sekarang bukan kita nak banding siapa paling kuat mengumpat tetapi apa yang kita dapat daripada mengumpat orang lain. Best ke ngumpat ni?

Mak saudara aku ceritalah yang tiap - tiap petang, jirannya akan panggilnya duduk di pangkin dan bersembang. Jika mak saudara aku keluar, mesti jiran dia akan panggil.

"Hoi, Nita (bukan nama sebenar) marilah join sekali, kita mengumpat sama - sama. Dosa dah sebakul, marilah kita tambah sebakul lagi,"

Aku yang mendengar jadi nak tergelak pun ada. Aduih.. 'Dosa dah sebakul'.. Hebat tuh. Pakai ilmu apa entah sampai dia boleh nampak dosa dia yang sebakul. Setahu aku lah kan.. Dosa dan pahala ni kan tergolong dalam perkara ghaib. Hebat betul jiran mak saudara aku tu. Sekali kita dengar, macam bahan jenaka la pulak. Tetapi harus diingat, Allah sudah beri amaran bagi orang mengumpat.

Allah ada berfirman dalam Surah Al - Humazah ayat 1:

"Celakalah untuk setiap pengumpat dan penista."

Bagi aku, mengumpat ni diibaratkan macam masakan. Bayangkan kita tengah masak, bila time nak rasa, tawar. Tambah garam. Kemudian rasa lagi. Tak sedap. Tambah gula.(betul ke tidak tak tahu la. Aku bukan pandai masak sangat pun). Kemudian rasa lagi, kemudian tambah lagi apa yang patut. Kita akan tambah apa sahaja dalam masakan sampai jadi sedap dan rasanya memuaskan hati.Begitu juga dengan mengumpat.

Andai kita lihat satu babak/peristiwa menarik, mula lah nak jumpa sahabat - sahabat kita. Dalam perjalanan nak balik, dah susun dah cerita dalam otak kita macam mana nak sampaikan pada sahabat - sahabat

 .




Nak jadi perencah cerita la katakan. Kalau tak, cerita itu tak jadi menarik. Tak ada orang nak dengar. Betul tak? Tapi, walauapapun, sebelum kita kata berkenaan dengan seseorang, siasatlah dulu.

Apapun, aku nak kongsi beberapa tip macam mana nak elak daripada mengumpat.

1) Ubah topik

Salah satu punca rasa nak mengumpat adalah kerana percakapan kita yang tak dapat dikawal. Bak kata orang, cakap ikut sedap mulut je. Bila kita dah sedar yang kita masuk zon mengumpat, terus korang ubah topik. Cakaplah pasal kucing mati ke, lembu nak beranak ke. Tak pun cakap pasal hobi. Biasa lelaki yang suka cakap pasal hobi. Kalau perempuan pula, suka cakap pasal shopping... Belasah je la topik mana pun. Asal tak bercakap hal buruk tentang orang lain.

2) Segera bermuhasabah diri.





Tengah syok - syok bercakap, tiba - tiba dah masuk bab mengumpat. Cepat - cepat la beristighfar. Kembali bermuhasabah diri. Lagipun, kita ni bukan sempurna sangat.

3) Elak daripada sifat takabbur dan bongkak

Biasanya, orang yang mempunyai sifat takabbur dan bongkak ni, dia akan memandang orang lain semuanya rendah, hina atau bodoh. Biasanya, orang yang mempunyai sifat sedemikian, suka merendahkan orang di sekelilingnya. Hoho,,, jangan fikir kita paling hebat, paling cerdik, paling kaya.. Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa atasa segala sesuatu. Dalam sekelip mata, Dia boleh menarik semua nikmat.

4) Mengumpat diri sendiri

Benda ni, semua orang jarang buat. Cubalah. Biar kita rasa bagaimana apabila diri kita menjadi bahan umpatan. Kadang - kadang, apabila kita umpat diri sendiri, kita boleh tahu kelemahan kita dan andai rajin, kita boleh berusaha untuk memperbaiki diri sendiri. Tambahan pula, boleh didik diri kita untuk menjadi orang yang merendah diri. Cubalah.

"Eh, kau tahu tak, aku tak pandai masak. Masakan aku, selalu tak sedap."- contoh umpat diri sendiri... haha, aku la ni...


5) Ingat azab Allah




Seperti firman Allah yang ana nyatakan di atas, 'celakalah'... Bermakna Allah tidak suka dan dijanjikan balasan neraka. Seperti ayat 4 hingga 6, dalam surah yang sama.

"... Pasti dia akan dilemparkan ke dalam (neraka) Hutamah. Dan tahukah kamu apakah (neraka) Hutamah itu? (Iaitu) api (azab) Allah yang dinyalakan".

Jadi, bila rasa gatal - gatal mulut nak mengumpat, terus ingatkan neraka Hutamah. Neraka yang Allah janjikan.

6) Basahi lidah dengan berzikir

Daripada korang penat - penat mengumpat, menghabiskan air liur, baik korang berzikir. Pahala free je masuk. Lagipun, tak penat ke mengumpat? Tak rasa bersalah ke? Fikirkan.

7) Lakukan aktiviti yang berfaedah

Daripada korang mengumpat, baik korang pergi masak. Boleh makan. Perut pun kenyang. Belasah je aktiviti apa pun. Basuh tandas, cuci longkang, kemas rumah, buat kek. Lantaklah. Cuba fikir balik. Mengumpat ni mendatangkan faedah ke? Apa yang kita dapat? Menghabiskan air liur.



No comments:

Post a Comment